Pemandu lori ditahan beri alasan ambil dadah untuk tahan lama - Utusan Malaysia

Pemandu lori ditahan beri alasan ambil dadah untuk tahan lama

STIEN Van Lutam (kiri) menunjukkan tayar sebuah lori yang berada dalam keadaan tidak selamat ketika operasi bersepadu di Plaza Tol Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sembilan pemandu lori dan dua kelindan ditahan kerana disyaki positif dadah dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Plaza Tol Jitra, di sini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, kesemua individu tersebut merupakan warga tempatan yang berusia 20 hingga 50-an dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut beliau, lesen memandu kesemua individu terbabit kini digantung dan pihaknya akan mengaudit majikan yang mengupah pemandu tidak kompeten itu kerana mengambil bahan terlarang.

“Jika syarikat tersebut gagal dalam proses audit itu, maka permit pengendali kenderaan terbabit boleh digantung atau dibatalkan terus,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Operasi bersepadu itu melibatkan JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sejak 1 Ogos lalu yang berlangsung setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Tambah Stien, rata-rata mereka yang ditahan memberi alasan kononnya mengambil dadah bagi mendapatkan tenaga untuk memandu lebih lama dan jauh.

“Itu cuma alasan kerana ramai lagi pemandu yang berhemah dan bertanggungjawab mampu melaksanakan tugas dengan baik. Tindakan mereka cuma mendatangkan bahaya terutamanya kepada kenderaan-kenderaan kecil,” katanya.  

Dalam pada itu, ujar Stien, sebanyak 32,526 kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu dengan 19 daripadanya disita kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya pemandu tidak mempunyai lesen serta tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, sejumlah 3,777 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Saman paling banyak dikeluarkan adalah bagi kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh yang berjumlah 603 kes.

“Selain itu terdapat tiga lagi kesalahan yang mencatatkan saman tertinggi iaitu tiada insurans, tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal yang masing-masing mencatatkan 482, 467 dan 431 pengeluaran saman daripada JPJ” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN