Pemaju perumahan dikompaun RM25,000, arahan henti kerja serta-merta

Banjir lumpur: Pemaju perumahan dikompaun RM25,000, arahan henti kerja serta-merta

MPSepang melakukan pemeriksaan di pembangunan lot banglo di kawasan Sg Merab, Selangor menjadi punca banjir lumpur. - GAMBAR MPSEPANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan kompaun serta-merta berjumlah RM25,000 kepada pihak pemaju perumahan di kawasan Sungai Merab berdekatan Bandar Baru Bangi Selangor yang menjadi salah satu punca berlaku kejadian banjir lumpur di kawasan itu.

Mengesahkan tindakan itu, Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di kawasan terlibat sejurus laporan Utusan Malaysia pada 29 Ogos lalu dan mengesahkan kejadian bencana itu berpunca pembangunan lot perumahan di bawah pemaju Che Din Holdings Sdn. Bhd. tanpa sistem perparitan yang sempurna.

Menurut beliau, pembangunan eco pertanian tanaman nenas di kawasan berdekatan Desa Villa Merab tanpa sistem perparitan betul turut menjadi punca kejadian banjir lumpur tersebut.

“Aduan turut diterima daripada Ahli Majlis Zon Sungai Merab, Ahmad Rozaidi Rozali berkenaan masalah banjir kilat Desa Villa Merab.

“Arahan Berhenti Kerja dan kompaun sebanyak RM 25,000 dikenakan kepada pemaju tersebut di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keluhan lebih 2,000 penduduk berhubung bencana banjir lumpur yang berlaku 12 kali dalam tempoh 14 tahun.

Malah, kejadian terburuk berlaku pada awal Julai dan 23 Ogos lalu sehingga memasuki kesemua 32 unit rumah di Desa Villa Merab setinggi satu kaki selepas hujan tanpa henti sekitar lebih satu jam.

Banjir dikesan surut dalam tempoh dua jam, namun kesannya meninggalkan lumpur setebal 6 sentimeter dalam rumah masing-masing, dan keadaan itu lah berlaku setiap kali dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda sehingga mengalami kerugian lebih RM300,000.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, pihak pemaju turut diarahkan untuk mengadakan komponen-komponen Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) dengan sempurna di tapak pembinaan.

Pada masa sama, katanya, struktur kolam perangkap kelodak (Silt trap) adalah antara komponen ESCP utama yang perlu mengekalkan strukturnya sehingga kerja pembinaan bermula.

“Perkara penting yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan pembinaan perangkap kelodak termasuk saiz dan keperluan penyelenggaraan mengikut jadual yang ditetapkan supaya ia boleh berfungsi dengan baik.

“Pembukaan tanah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan pengaliran kelodak terus ke saluran sungai dan seterusnya menghakis tebing dan dasar sungai,” katanya.

Abd. Hamid berkata, semakan yang dibuat mendapati pemajuan lot pertanian bagi tujuan eco pertanian tanaman nenas juga tiada permohonan pemajuan daripada pengusaha kepada MPSepang.

Justeru, kata beliau, permohonan tindakan penguatkuasaan akan dibuat kepada Pejabat Tanah Dan Daerah Sepang (PTD) dalam masa terdekat.

Beliau turut berkata, pemaju sama pernah dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 dan Arahan Berhenti Kerja pada Februari 2023 kerana gagal mematuhi syarat kelulusan pelan kerja tanah dan Pelan Jalan perparitan sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun, pihak pemaju telah mengambil tindakan pematuhan berdasarkan notis yang dikeluarkan.

Namun, katanya, berdasarkan insiden banjir kilat yang berlaku pada Jun lalu, pihak MPSepang telah mengarahkan pihak pemaju untuk meneliti serta mengambil langkah kawalan banjir bagi memastikan semua komponen yang terdapat di dalam Laporan ESCP di tapak pembangunan berfungsi dengan baik.

“Pihak MPSepang juga mengarahkan pihak pemaju supaya membuat kerja pembersihan bagi sistem perparitan di kawasan sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN