Pelakon muda bukan manja, tapi tidak sopan

Pelakon muda bukan manja, tapi tidak sopan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KITA tanya apa khabar, dia sibuk bermain telefon.”

Demikian cerita pelakon veteran, Kartina Aziz ketika berkongsi pengalamannya berhadapan dengan segelintir pelakon baharu hidung tinggi di set penggambaran.

Kartina yang lebih mesra disapa sebagai ‘mama’ faham, bahawa mereka bukanlah bermaksud demikian, tetapi tidak tahu membawa diri kerana tiada yang mahu menegur.

“Saya tidak kata mereka manja. Kerana kalau manja, cara mereka cakap akan lembut. Tapi ini yang jenis tidak sopan, asyik pegang telefon.

“Apa yang berbeza antara pelakon lama dan sekarang ialah adab. Kita kena terapkan bahawa berlakon ialah seni. Ada yang datang ke set hanya mahu berlakon tapi tidak bekerja.

“Pakai baju cantik-cantik, bersolek tapi tidak reti bercakap. Bila masuk set, seolah tiada beza antara mereka dan tingkap (kaku),” katanya.

Bukan itu sahaja, Pelakon Wanita Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-16 itu juga berpesan bahawa set peggambaran ialah tempat untuk mencari rezeki.

Oleh itu, setiap pelakon wajar untuk merendah diri dan terbuka hati menerima teguran untuk meningkatkan mutu lakonan.

“Kita kena faham bahawa walau suara sedap, badan sado, bergaya atau anak raja sekali pun, jika mahu jadi pelakon, kita kena tinggalkan ‘takhta’ itu kerana semua ini adalah kerja.

“Dengan itu, barulah kita akan hormat orang di sekeliling seperti pengarah, jurukamera dan penulis skrip. Bidang inilah yang ajar kita akhlak dan adab.

“Kasih sayang seperti sudah hilang. Dulu saya sempat bekerja dengan Normadiah, S Kadarisman dan Kuswadinata. Kami hormat antara satu sama lain walau ada bergurau. Tidak kisah anda pelakon utama atau pembantu, sama sahaja,” jelasnya.

Apa niat sebenar jadi pelakon?

Tambahnya lagi, walaupun pelakon lama tidak melalui pendidikan formal seperti universiti atau mempunyai sijil kelulusan dalam lakonan, namun pengalaman banyak membantu dalam membentuk peribadi seorang pelakon.

“Jangan ingat bila orang senyum tanda mereka suka dekat kita. Begitu juga bila mereka gelak, bukan bermaksud itu lawak. Perhatikan dan dengar apa sebenarnya intonasi mereka. Jika anda tone deaf memang parah.

“Dalam lakonan kita kena buat betul-betul, tumpukan hidup kita pada ketika itu di dalam set. Bila pulang ke rumah, terpulanglah mahu jadi apa.

“Curi ilmu pelakon senior sebanyak mungkin. Kalau umur awak 20 tahun, awak ada 40 tahun lagi untuk mencapai usia kami (pelakon veteran), pelbagai lagi (cabaran) nak ditempuh.

“Jika ditegur oleh pelakon senior, terimalah setiap teguran itu dengan hati terbuka dan lihat dari sudut positif,” katanya.

Namun begitu, pelakon Mami Jarum itu juga tidak menafikan, ada pelakon muda yang bagus dan tidak melenting sekiranya teguran diberikan kepadanya.

“Ada yang betul-betul niat mahu belajar. Mereka menangis dan ucapkan terima kasih kepada saya. Katanya, sebelum ini tidak pernah ada yang tegur mereka.

“Saya bukan mahu mengajar, kalau mengajar kena ada papan putih. Niat saya hanya menyampaikan pesanan kepada mereka. Supaya bila saya sudah tiada nanti, mereka akan ingat pesanan itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN