Pelakon Hollywood cari Fad Anuar, mahu belajar silat - Utusan Malaysia

Pelakon Hollywood cari Fad Anuar, mahu belajar silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fad Anuar, tidak menyangka, selebriti Hollywood, Dennis Greene menghubunginya untuk belajar mengenai ilmu persilatan.

Menurut Fad, 35, pelakon yang terkenal dengan filem Bad Boys itu memberikan mesej menerusi Instagram menyatakan hasratnya untuk mendapatkan nasihat mengenai silat.

“Saya ada menerima kiriman DM dari pelakon filem Bad Boys, Dennis Greene. Awalnya, dia mengikuti saya di Instagram dan kemudian DM.

“Saya tanya, bagaimana dia jumpa akaun Instagram saya. Rupanya, dia mencari maklumat mengenai pelbagai seni bela diri dan mungkin sebab saya gunakan hashtag silat, jadi, dia jumpa Instagram saya.

“Dia ajak saya untuk jalani latihan seni bela diri di New York. Saya jelaskan kepadanya bahawa saya menetap di Malaysia.

“Jadi, dia nak saya ajar dan beri nasihat mengenai silat untuk filemnya yang akan datang,” katanya.

Fad ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Pungut, di sini, hari ini.

Menurut Fad, dia terharu kerana tidak menyangka pelakon berkulit hitam mahu mendalami budaya warisan Melayu daripada penggiat seni di Malaysia.

“Saya cadangkan supaya dia mengetengahkan silat Melayu sebab kalau jadi, dia akan jadi orang kulit hitam pertama yang melakukannya.

“Saya rasa berbesar hati apabila ada orang dari luar negara yang menghargai warisan kita.

“Katanya, dia akan berbincang dengan pengurus dan pihak produksi dahulu. Sekiranya mereka bersetuju dan berikan lampu hijau, mungkin kami akan teruskan perbincangan lanjut,” jelasnya.

Fad juga memetik kata-kata pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian yang pernah meluahkan mengenai bagaimana bakatnya lebih dihargai di luar negara berbanding di tanah air sendiri.

“Saya berpegang dengan kata-kata pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian yang dah pergi jauh sehingga ke Hollywood.

“Katanya, apabila kita beraksi di luar negara, kita dibayar dan dilayan seperti raja. Manakala, kalau di tempat sendiri, rakyat kita pun tak mahu tahu pasal kita,” katanya.

Terdahulu, Fad pernah membintangi beberapa filem aksi seperti Geran, Walid, dan terbaharu, Takluk: Lahad Datu dan Pungut.

Dalam perkembangan lain, Fad membintangi filem Pungut arahan pengarah Areel Abu Bakar.

Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Yusran Hashim, Megat Sharizal, Aman Graseka, Ruzaidi Abdul Rahman dan ditayangkan bermula 29 Ogos ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN