SMK Taman Jasmin

Pelajar SMK Taman Jasmin 2, Kajang tunjuk semangat patriotik

SEMANGAT patriotik yang ditunjukkan oleh warga sekolah , SMK Taman Jasmin 2, Kajang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala ada suara-suara yang mendakwa bahawa semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan anak muda, bulan kemerdekaan masih disambut dengan penuh meriah di sekolah- sekolah seluruh negara termasuk Pelajar SMK Taman Jasmin 2, Kajang.

Saban tahun, bulan kemerdekaan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti untuk memastikan penghayatan semangat cinta akan tanah air dapat dimanifestasikan dan bukan hanya sekadar laungan keramat merdeka tanpa jiwa.

Seiring dengan peredaran zaman, pastinya cara untuk menyemai dan menyuburkan semangat patriotik juga sudah berbeza. Anak muda lebih tertarik dengan kandungan dalam media sosial termasuklah filem-filem tular di layar perak mahupun kaca televisyen.

Justeru, warga pendidik harus menggunakan pendekatan terkini untuk memastikan semangat patriotik bukan sekadar ‘semangat kosong’ tetapi panji agung yang mendaulatkan jati diri, keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, kebebasan dan keberanian melawan anasir luar yang cuba merosakkan tanah air kita, Malaysia.

Demi merealisasikan hasrat menyemai semangat patriotisme bermula daripada bangku sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jasmin 2, Kajang menjadikan elemen ini sebagai salah satu daripada gimik dan persembahan ketika pelancaran Bulan Kemerdekaan di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Gimik pelancaran sesi pagi dimulakan dengan dialog daripada filem popular Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membiarkan penjajah bermaharajalela ibarat membenarkan musuh menebuk satu persatu dinding rumah kita sehingga hilanglah jati diri, adat, dan agama.”

Sejurus dialog selesai dilafazkan, bermulalah adegan antara penjajah British dan orang kampung yang menentang kehadiran penjajah di Tanah Melayu. Kemuncak gimik adalah ketika watak Mat Kilau berlari di tengah murid-murid yang sedang menonton sambil diiringi suar asap.

Tidak berhenti di situ, gimik turut diselitkan dengan aksi rasa kilas (flash mob) orang kampung bangun dalam kalangan murid-murid dan pembawa bendera yang berlari ke arah pentas utama.

Gimik ditamatkan dengan aksi Mat Kilau menewaskan penjajah British, keris keramatnya diserahkan kepada Pengetua SMK Taman Jasmin, Massita Mohamed untuk memotong tali kotak, bendera Jalur Gemilang terbang ke udara. Persembahan diteruskan dengan sketsa Leftenan Adnan serta aksi rasa kilas (flash mob) orang kampung menari, bersajak dan nyanyian lagu Bahtera

Merdeka untuk mengenang perjuangan pahlawan-pahlawan yang membebaskan tanah berdaulat ini suatu ketika dahulu.

 

Lebih 40 orang murid termasuk guru-guru yang terlibat dalam gimik dan persembahan Pelancaran Bulan Kemerdekaan di SMK Taman Jasmin 2. Murid-murid sangat aktif, bersemangat berkongsi idea dan menggunakan busana serta props yang ada di rumah mereka untuk menjayakan persembahan ini.

Imbasan tragedi-tragedi penuh bersejarah yang dipersembahkan dengan pelbagai elemen nyata membuahkan hasil apabila murid-murid dilihat khusyuk dan menghayatinya. Bahkan suasana begitu meriah dengan kibaran bendera dan bersemangat ketika menyanyikan lagu penutup majlis iaitu Keranamu Malaysia, Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan sesi petang pula diserikan dengan persembahan tarian kipas yang disertai oleh murid-murid yang memakai busana pelbagai kaum di negara ini.

Secara keseluruhannya, seramai 2,700 pelajar, guru sesi pagi dan petang terlibat dalam acara membuat gimik dan persembahan Pelancaran Bulan Kemerdekaan kali ke-67 anjuran sekolah tersebut di Kajang baru-baru ini.

Jumlah guru yang terlibat bagi kedua-dua dua sesi pembelajaran adalah 150 orang. Program tersebut merupakan acara tahunan sekolah berkenaan yang dianjurkan dengan acara berbeza termasuk gimik dan acara persembahan.

Sementara itu pengetua sekolah Massita Mohamed Sin berharap dengan adanya program sumpama itu, ia dapat meningkatkan kesedaran dan menyemai semangat patriotik di samping penyertaan aktif dalam kalangan murid-murid dan guru-guru – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya