Peguam lelaki kes bekal senjata Israel tarik diri - Utusan Malaysia

Peguam lelaki kes bekal senjata Israel tarik diri

Kes senjata Israel
ABDUL Azim Mohd Yasin dan Sharifah Faraha Syed Husin dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Sesyen, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Peguam seorang lelaki yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel, Mac lalu menarik diri daripada mewakilinya bagi kes berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohamad Isa Mohamad Basir di Mahkamah Sesyen di sini, yang baharu dilantik mewakili tertuduh Abdul Azim Mohd Yasin, 43.

Mohamad Isa berkata, beliau menerima surat rasmi daripada peguam terdahulu, Ethan Tan yang menyatakan mahu menarik diri petang semalam.

“Kini, saya ‘take over’ (mengambil alih) kes ini bagi mewakili pihak anak guam (Abdul Azim). Justeru, saya memohon Timbalan Pendakwa Raya turut memberikan dokumen yang diserahkan kepada peguam terdahulu sebelum ini,” katanya.

Pada prosiding sebutan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa laporan kimia dan forensik belum disiapkan

“Saya dimaklumkan bahawa laporan kimia akan siap pada September manakala laporan forensik tidak dinyatakan bila tarikhnya. Oleh itu, saya memohon satu tarikh bagi serahan dokumen-dokumen berkenaan,” ujarnya.

Mohamad Isa yang turut mewakili isteri tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, tiada membuat sebarang bantahan.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kemudian menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah itu secara berasingan dengan menaiki kenderaan polis masing-masing pukul 9.05 dan 9.50 pagi.

Mengikut pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama isterinya itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki berkenaan mengetahui tentang pemilikan senjata api berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira pukul 8 malam, 29 Mac lalu.

Pasangan itu masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mereka yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel, Shalom Avitan, 38, yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di dalam beg miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN