PDRM buka kertas siasatan terhadap Mashitah - Utusan Malaysia

PDRM buka kertas siasatan terhadap Mashitah

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua, kiri) beramah mesra bersama penduduk kampung pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menyiasat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Aduan (laporan) sudah dibuat dan PDRM juga membuka kertas siasatan. Jadi biar proses (siasatan) itu berjalan dahulu.

“Tidak perlu timbulkan spekulasi, saya serahkan kepada profesionalisme PDRM untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, jenayah rentas sempadan di negara-negara Asean termasuk Malaysia dikesan berada pada tahap membimbangkan.

Menurut Saifuddin Nasution, negara-negara Asean secara dasarnya bersetuju mengambil langkah proaktif mengatasi isu berkenaan ketika Persidangan Menteri-Menteri Asean di Laos, tiga hari lalu.

Antaranya dengan kerjasama perkongsian maklumat perisikan dan meningkatkan keupayaan pasukan penguatkuasaan di setiap negara masing-masing.

“Ketika di Laos, semua negara mengakui ‘trend’ jenayah rentas sempadan meningkat termasuk kes pemerdagangan manusia dan kita (Malaysia) setuju dengan pandangan itu.

“Semua negara juga bersetuju beberapa perkara terutama berkongsi maklumat perisikan bagi membanteras jenayah rentas sempadan daripada terus berleluasa.

“Dalam masa sama pihak berkuasa Malaysia akan terus memperhebatkan usaha bagi membendung masyarakat terlibat dengan sindiket ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN