PAU24: Orang Melayu nak balik tapi terpulang pada UMNO

PAU24: Orang Melayu nak balik tapi terpulang pada UMNO

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Para pemimpin UMNO perlu mencari kaedah dan merangka strategi untuk membawa orang Melayu kembali menyokong parti tersebut.

Ini kerana, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, orang Melayu kini mahu kembali semula kepada UMNO.

Bagaimanapun, menurut beliau, kepulangan orang Melayu terpulang kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk menggamit kumpulan tersebut.

“Kita mesti menghantar mesej-mesej yang baik dan boleh menggembirakan hati orang.

“Jangan bercakap kadang-kadang itu kita menyakitkan hati (hingga ada) orang yang marah dan menyampah dengan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar turut menasihatkan pemimpin UMNO supaya sentiasa turun ke bawah dan berterima kasih kepada jentera yang bertungkus-lumus membantu mereka memenangi pilihan raya.

Beliau menjadikan majlis kahwin sebagai perumpamaan untuk setiap wakil rakyat daripada UMNO.

“Orang-orang tua cakap jinjang dinaiki, tangga dituruni. Sudah naik pelamin kan jangan tidak turun-turun.

“Orang yang menguruskan perkahwinan kita berkeja keras (jadi) turun menjumpai mereka, ucap terima kasih dan pastikan supaya majlis kita dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri) boleh dijadikan sebagai semangat dalam mendepani ‘perang’ di DUN Mahkota pada 28 September ini.

“Jangan ingat menang di Nenggiri, kita boleh senang-senang di Mahkota. Padangnya lain, belalang lain dan cara bermain di sana pun lain.

“Jadi turunlah beramai-ramai membantu (kempen) tetapi turunlah untuk bekerja, bukan menjadi pelancong politik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN