KUALA LUMPUR: Transformasi pendidikan dalam negara diberi perhatian secara menyeluruh menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menerajui kementerian itu berkata, KPT kini menggariskan lima fokus utama selain menetapkan 20 landasan sepanjang tahun berkaitan pendidikan negara.
“Di peringkat KPT, salah satu agenda besar ialah bagaimana kita mahu mentransformasi pendidikan dalam negara dengan menerapkan pendidikan AI serta TVET.
“Oleh itu, saya berbincang dengan Datuk Seri Khaled Nordin yang mana kita akan meneruskan gagasan sebelum ini yang diterajui oleh beliau.
“Berdasarkan lima fokus utama dan 20 landasan yang kita tetapkan, sebanyak 60 peratus telah dilaksanakan,” katanya pada Sesi PenTalk di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini, hari ini.
Awal tahun ini, KPT menggariskan lima fokus utama iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
Di samping itu, kementerian turut menggariskan 20 landasan hala tuju KPT sebagai panduan seluruh warga KPT dalam memperkasakan kualiti pendidikan tinggi negara.
Sementara itu, katanya, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2024 dan penyelesaian isu Parallel Pathway membuka lembaran baharu dalam kementerian.
“Selain itu, kita berjaya mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkenaan Akta AUKU. Ini penting kerana selama ini mahasiswa merasakan mereka tidak mempunyai kebebasan bersuara.
“Oleh itu, dengan perubahan ini mereka mempunyai ruang dacn mereka tidak perlu lagi berselindung di sebalik persatuan atau parti mereka.
“Pada masa sama, Pindaan Draf Undang-undang (RUU) Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang dilihat juga melibatkan kementerian akhirnya dapat menyelesaikan kemelut Parallel Pathway melibatkan doktor kita dan membolehkan mereka mempraktiskan apa yang mereka belajar,” katanya.
Beliau turut berkongsi program yang dijalan kementerian seperti Outreach KPT, Karisma, Jerayawara Semarak Kampus Madani, iFuture 2024 dan Persidangan Mahasiswa UMNO bagi mendekati dan membentuk mahasiswa akan datang. –UTUSAN