PAU 2024: UMNO jangan terlalu selesa kemenangan Nenggiri - Utusan Malaysia

PAU 2024: UMNO jangan terlalu selesa kemenangan Nenggiri

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini pastinya menyuntik semangat baharu kepemimpinan serta ahli parti itu sebelum berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini.

Kejayaan itu juga cukup istimewa yang menyaksikan kemenangan pertama UMNO yang berjaya merampas semula kerusi yang kalah dalam siri pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus memberi gambaran kebangkitan semula parti itu.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik, kejayaan penuh bergaya UMNO di Nenggiri itu sebenarnya bukan kayu pengukur bahawa parti itu sudah kembali diterima pengundi Melayu secara keseluruhannya dan UMNO jangan terlalu selesa sebaliknya perlu terus berusaha bagi mengembalikan sokongan rakyat.

Pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, PAU kali ini agak menarik kerana bakal dibayangi dua isu penting iaitu tahap sokongan terhadap UMNO sama ada masih merudum atau sebaliknya dan kemenangan di Nenggiri

Katanya, para perwakilan juga harus berhati-hati dengan tidak terlalu memainkan semangat Nenggiri sehingga menganggap isu pokok bahawa parti itu kehilangan sokongan Melayu sudah selesai.

Ujar beliau, jika UMNO beranggapan kemenangan di Nenggiri adalah satu kebangkitan dengan pengundi Melayu sudah kembali kepada mereka dikhuatiri akan menyebabkan parti itu berasa selesa sekali gus sukar untuk berubah.

“PAU juga perlu elak hanya berbincang perkara-perkara yang hanya menyedapkan halwa telinga semata-mata sebaliknya cari solusi untuk menarik semula sokongan rakyat. Situasi itu masih berlaku selepas PRU15 dengan akibatnya UMNO dihukum teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila hilang sokongan pengundi Melayu.

“Jangan jadikan PAU hanya medan menghidupkan sentimen semangat walhal analisis lapangan membawa naratif yang berbeza. Jadikan kemenangan di Nenggiri untuk UMNO berubah dengan mereka perlu melihat prestasi dalam PRK seterusnya bagi memastikan sokongan Melayu bertambah atau berkurang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

PAU 2024 berlangsung pada 21 Ogos yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada keesoknya seterusnya Perhimpunan Agung UMNO sehingga Sabtu ini.

Ia melibatkan 6,433 perwakilan daripada seluruh negara termasuk kehadiran ketua-ketua Penerangan bahagian yang dijadikan perwakilan automatik sebagai mana pindaan kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat pada PAU sebelum ini.

Tambah Muhammad Izmer, kemenangan UMNO di Nenggiri adalah permulaan yang baik namun bukan indikator sahih bahawa parti itu sudah pulih dalam mengembalikan sokongan rakyat.

“Kita mungkin kena lihat PRK DUN Mahkota yang juga akan ditandingi UMNO. PAU harus melihat isu sokongan ini secara makro dan holistik serta pandangan akar umbi jentera di bawah. ini membolehkan UMNO menganalisis dengan tepat sama ada kemenangan di Nenggiri tanda sokongan pulih atau sebagainya.

“Kemenangan bergaya UMNO di Nenggiri adalah satu kemenangan daripada beberapa siri kekalahan besar sebelum ini seperti Sungai Bakap, Kuala Terengganu dan tidak lupa juga prestasi buruk masa PRN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya