PETALING JAYA: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 perlu menjadi platform untuk mencari strategi bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selain memperkukuh semula parti itu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, perhimpunan tahunan itu boleh menjadi medan signifikan membicarakan kebangkitan dan memperkukuh semula parti dengan menyatupadukan ahli serta saf kepemimpinannya.
“Inilah waktunya untuk mencari strategi yang mantap dan ampuh bagi menghadapi PRU16 khususnya bagi menarik kembali sokongan orang Melayu,” katanya menerusi satu catatan di Facebook, hari ini.
PAU 2024 berlangsung empat hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Sebanyak 2,939 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan itu manakala 1,171 perwakilan pula mengikuti Perhimpunan Agung Wanita, 1,173 sayap Pemuda serta 1,150 bagi sayap Puteri. –UTUSAN