PUTRAJAYA: UMNO masih belum memuktamadkan senarai jemputan bagi pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) bermula 21 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibincangkan sebagaimana dilaksanakan pada tahun lalu.
“Kita akan lihat kelapangan pemimpin-pemimpin berkenaan untuk menghadiri PAU kita kali ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Simposium Luar Bandar Malaysia di sini, hari ini.
PAU 2024 akan bermula dari 21 hingga 24 Ogos ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
PAU 2023 tahun lalu mencatat sejarah tersendiri apabila dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Anwar kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu sebagai tetamu kehormat selepas 25 tahun dan kali terakhir berucap pada PAU adalah pada 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Beliau dipecat daripada UMNO pada 3 September 1998 dan sejak itu, bangunan itu adalah asing baginya untuk dikunjungi. – UTUSAN