PAU 2024: Dapat banyak dana tetapi ekonomi Terengganu tidak berkembang

PAU 2024: Dapat banyak dana tetapi ekonomi Terengganu tidak berkembang

MOHD. ISKANDAR JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu didakwa gagal membangunkan negeri walaupun mendapat dana khas dan royalti minyak daripada Persekutuan.

Pembahas UMNO Terengganu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, UMNO Terengganu sejak dahulu konsisten agar dana tersebut diberikan tanpa gagal bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, dana tersebut tidak semestinya perlu diberikan melalui kerajaan negeri pada masa ini.

Katanya, Barisan Nasional (BN) dan UMNO Terengganu bersedia menjadi wakil kerajaan Persekutuan bagi menguruskan dana supaya manafaat itu sampai kepada rakyat.

“Tuduhan Pas bahawa kerajaan menyekat hak rakyat Terenggau itu satu agenda jahat bagi memburukkan imej Kerajaan Madani.

“Dengan agihan sebegitu banyak dana, ekonomi Terengganu tetap tidak berkembang berbanding negeri lain. Suatu ketika mungkin alasan Covid-19 merencatkan pembangunan ekonomi, tetapi negeri-negeri lain mampu pulih,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini  hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Iskandar berkata, UMNO tidak lagi boleh meratap kekalahan sebaliknya menggunakan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai semangat untuk meraih kecemerlangan semula.

Jelasnya, langkah pertama akan diambil adalah mengislahkan atau mereformasi barisan kepimpinan UMNO Terengganu dengan memberi ruang kepada muka baharu menerajui barisan hadapan parti sambil dibantu oleh orang lama.

“Tindakan ini adalah satu proses rejuvenasi terpimpin apabila Datuk Rozi Mamat yang mewakili generasi baharu UMNO di Terengganu mengepalai parti dengan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada tiga orang pemimpin terdahulu yang dilantik sebagai penasihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN