Pasangan suami isteri tak mengaku salah culik lelaki warga China

Pasangan suami isteri tak mengaku salah culik lelaki warga China

ENAM individu termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Enam individu termasuk sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga China bagi mendapatkan wang tebusan, bulan lalu.

Keenam-enam tertuduh, Chen Jun Hiong, 29; Law Han Wei, 29; Dhinnesh Tan Kin Yhuan, 29; Jong Li Jiat, 25, serta pasangan suami isteri, Loh Yew Jian, 30, dan Wong Xiao Yen, 29, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Amir Affendy Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dengan empat lagi yang masih bebas didakwa menahan seorang lelaki warganegara China secara salah untuk wang tebusan berjumlah USDT 1,007,696 (RM4.47 juta).

Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Cyberjaya Lebuh Raya Mex di sini, kira-kira pukul 11 pagi pada 11 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain, manakala tertuduh diwakili peguam Datin G. Freda Sabapathy, Mohd Zali Shaari, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, P. Haresh dan Bernard Francis.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan terbabit tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, setiap peguam memohon anak guam mereka untuk diberikan ikat jamin berikutan perlu menanggung keluarga, selain akan mematuhi semua syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah atau melapor diri di balai polis berhampiran.

Selepas mendengar hujah kesemua pihak, Amir Affendy menolak jaminan diberikan kepada keenam-enam tertuduh.

“Setelah saya pertimbangkan kesemua hujahan dan pertuduhan, mahkamah memutuskan jaminan adalah tidak dibenarkan,”katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Isnin lalu media melaporkan polis masih memburu empat lagi suspek kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Mex, berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat yang diburu itu itu adalah sebahagian daripada 18 ahli kumpulan yang bertindak merancang dan menculik mangsa.

Beliau berkata, empat suspek warga tempatan yang diburu itu masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita, malah mereka dipercayai masih berada dalam negara.

Terdahulu pada 3 Ogos, polis menembak mati empat penjenayah di dua lokasi selepas dipercayai terlibat dalam kes penculikan itu. Kesemua penjenayah berke­naan maut dalam kejadian berbalas tembakan di Skudai, Johor – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN