KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan perikatan itu sebagai keutamaan bagi memperkukuh kedudukannya dalam arena politik negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, parti-parti komponen perlu memainkan peranan mereka dan melihat BN sebagai sebuah entiti penting.
“Saya sudah berkali-kali sebutkan bahawa kita seharusnya memperkukuh BN dan parti komponen. Kita juga perlu melihat BN sebagai satu entiti penting untuk menjaga keluarga kita dahulu. Saya rasa sepatutnya BN first.
“Saya melihat selama ini kita bertanding atas tiket BN dan tidak pernah tidak. Itulah (jawapan) jika ditanya sama ada MCA akan bergerak solo. BN itu sebagai sebuah parti dan apa juga senario yang pernah kita lalui adalah sebagai kawan.
“Jadi dalam keadaan sekarang, yang penting adalah mendukung prinsip demokrasi. Kita tahu tanggungjawab terhadap rakyat. Sebagai sebuah parti, kita perlu bergerak dengan satu falsafah dan sama-sama memakmurkan parti komponen, barulah kita dapat mempersiap diri kita untuk berdepan cabaran akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini. semalam.
Selain itu, katanya, kesetiaan MCA terhadap BN tidak pernah menjadi persoalan memandangkan parti itu adalah antara yang terawal membentuk kerjasama dua kaum melalui Parti Perikatan suatu ketika dahulu.
“Kesetiaan ini tidak pernah bangkit kerana kita (MCA) yang membentuk BN. Sebelum itu, Parti Perikatan telah dibentuk dan dua parti pertama adalah UMNO dan MCA. Ini adalah semangat BN (yang bermula) daripada Perikatan sehingga ke hari ini,” katanya.
“Sudah semestinya sebagai sebuah parti kita perlu mengadaptasi tentang bagaimana ingin menyesuaikan keperluan rakyat dan itu memerlukan kita membuat kerjasama,” katanya. – UTUSAN