Pantai Kelanang lokasi tetap pertandingan memancing 2025

Pantai Kelanang lokasi tetap pertandingan memancing 2025

memancing
Para pemenang pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour Pantai Kelanang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BANTING: Pantai Kelanang di sini bakal dijadikan lokasi tetap pertandingan memancing peringkat negeri Selangor berikutan kejayaan penganjuran acara itu semalam.
Pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia di Pantai Kelanang semalam menarik kehadiran lebih 600 peserta, meskipun bertembung dengan beberapa pertandingan lain di Selangor dan seluruh negara.
Ahli Majlis Zon 18 Majlis Perbandaran Kuala Langat, Mat Irwan Mat Ismail berkata dua pertandingan memancing yang diadakan di Pantai Kelanang dalam tempoh dua minggu menguatkan iltizam beliau untuk memartabatkan pantai berkenaan sebagai lokasi tetap pertandingan memancing.
“Dua minggu lepas, sambutan menggalakkan meskipun hujan lebat. Hari ini (semalam), sambutan lebih baik berikutan air pasang besar dan cuaca yang baik.
“Hasil tangkapan peserta juga sangat memberangsangkan dalam kedua-dua acara ini. Justeru, saya telah dan akan berbincang lanjut dengan pihak berkepentingan untuk menambah baik keadaan tebing di pantai ini untuk kemudahan pemancing.
“Buat masa ini, kawasan letak kereta yang luas, kawasan perkhemahan, surau, tandas dan gerai jualan memang telah tersedia dan sentiasa dalam keadaan baik sebagai kemudahan untuk pengunjung ,’’ katanya.
Pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour Pantai Kelanang kali ini dimenangi Izhar Nordin dari Putrajaya yang menjinakkan ikan gemang seberat 1.440 kilogram. Beliau membawa pulang wang tunai RM20,000.
Tempat kedua disandang Majid Musa dari Melaka yang menaikkan ikan Gemang seberat 1.430 kilogram sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000. Sementara itu, Alif Zakaria dari Klang, Selangor yang menjinakkan ikan Malong seberat 0.905 kilogram berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Hadiah disampaikan Mat Irwan di Dataran Pantai Kelanang. Turut hadir, Ketua Amanah Kuala Langat, Hasnul Baharuddin, dan Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.
Pertandingan itu adalah siri kedua Surfcasting Tour tahun ini. Siri pertama diadakan pada 23 Jun lalu di Pantai Sepat, Pahang. Siri ketiga dijangka diadakan pada Disember ini, namun lokasinya masih belum ditetapkan. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN