Pahang rekod 45 kes penipuan libat warga pendidik, kerugian RM1.2 juta

Pahang rekod 45 kes penipuan libat warga pendidik, kerugian RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang merekodkan sebanyak 45 kes penipuan melibatkan golongan pendidik dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, dengan nilai kerugian mencecah RM1.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jumlah kes itu bagaimanapun menurun berbanding 61 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu dengan kerugian RM1.45 juta.

Katanya, golongan pendidik yang terlibat dengan kes penipuan ini adalah mereka yang sudah bersara.

“Mereka ini biasanya terlibat dengan kes penipuan seperti pelaburan, pembelian barang tidak wujud dan Macau Scam.

“Kebiasaan kes tipu pelaburan ini tertumpu kepada pesara dan mengakibatkan kerugian yang banyak,” katanya kepada media selepas `Program Townhall Discussion Seminar Cakna Anti-Scam, Kenapa Terus Jadi Mangsa’, Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan, di sini hari ini.

Sementara itu katanya, setakat Ogos, sebanyak 1,228 kes jenayah komersial membabitkan kerugian RM59 juta dalam pelbagai sektor pekerja telah dicatatkan.

“Ada peningkatan nilai kerugian secara keseluruhan mangsa daripada pelbagai sektor dalam jenayah ini (komersial) dan ini memberi gambaran kes seumpama ini masih belum reda,” katanya.

Mengenai dialog awam anti-Scam, Yahaya berkata, ia diadakan bagi mempertingkatkan kesedaran dan memberi pendedahan khususnya kepada warga pendidik tentang modus operandi serta trend terbaharu aktiviti jenayah kolar putih di era zaman moden ini.

“Kita akan memberikan penerangan dan pencegahan dari semasa ke semasa untuk mengelak mereka menjadi mangsa.

“Guru, mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk mendidik anak murid, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan diri kita serta rakan-rakan sejawat daripada menjadi mangsa penipuan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN