LONDON: Selepas mengumumkan perpecahan 15 tahun lalu, kumpulan rock legenda, Oasis bakal bersatu semula menerusi konsert jelajah yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.
Berdasarkan perkongsian di laman sesawang rasmi band tersebut, Cardiff Principality Stadium, Wales bakal dipilih sebagai lokasi pembukaan konsert itu yang akan diadakan pada 4 Julai 2025.
Konsert jelajah itu merangkumi 14 siri persembahan yang bakal dipentaskan sekitar United Kingdom (UK) dan Ireland.
Teruja dengan pengumuman itui, pasangan adik beradik Noel dan Liam Gallagher yang merupakan anggota band berkenaan berkongsi keterujaan mereka di platform X.
“Inilah masanya, akhirnya ia (konsert) menjadi nyata,” kongsi mereka.
Pengumuman mengenai konsert itu dibuat selepas sambutan ulang tahun ke-30 album pertama Oasis berjudul Definitely, Maybe.
Beberapa lagu dalam album tersebut seperti Live Forever, Rock ‘n’ Roll Star dan Supersonic telah melonjakkan populariti band tersebut di seluruh dunia.
Perbincangan mengenai konsert reunion pernah diadakan antara pasangan adik beradik tersebut meskipun hubungan mereka sebelum ini dingin.
Liam sebelum ini mendedahkan Oasis pernah menerima beberapa tawaran untuk melakukan konsert bagaimanapun pelawaan itu ditolak Noel.
“Kami ada ditawarkan, tetapi dia (Noel) menolaknya,” kata Liam.
Noel, bagaimanapun seakan sudah terbuka hati apabila dia, dalam wawancara yang diperdengarkan menerusi radio KPNW 89.9, memaklumkan terbuka menerima pandangan abangnya mengenai konsert namun tidak akan memulakan perbualan mengenai perkara itu.