Nenggiri penting untuk kemenangan moral BN - Fathul Bari - Utusan Malaysia

Nenggiri penting untuk kemenangan moral BN – Fathul Bari

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun apa jua keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, pada 17 Ogos ini tidak akan mengubah kerajaan Kelantan namun kejayaan Barisan Nasional (BN) sangat penting bagi mendapatkan kemenangan moral.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau melihat PRK kali ini cukup penting yang memerlukan BN menang bagi melonjakkan semula moral parti tersebut.

“PRK kali ini untuk BN, kita memerlukan satu kemenangan, kemenangan ini sebenarnya kemenangan moral. Kenapa kemenangan moral kerana menang atau kalah sebenarnya tidak mengubah apa-apa pun, tidak boleh mengubah kerajaan negeri Kelantan pun, hanya tambah lagi satu kerusi sahaja menjadi dua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

PRK Nenggiri Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo Pas, Mohd. Rizwadi Ismail.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, Mohd. Azmawi atau Awie merupakan sosok yang sudah lama berkhidmat di Nenggiri seterusnya diyakini mampu memberi khidmat terbaik di kawasan berkenaan.

Katanya, pengundi dalam membuat keputusan pada PRK nanti perlu melihat kepada calon yang mampu memberi khidmat terbaik kepada mereka.

“Apa saya harapkan pengundi Nenggiri khususnya melihat dan menilai kedua-dua calon ini dengan cara yang lebih bersifat setempat.

“Bukan menjadikan undian kali ini bersifat atau berkiblatkan isu-isu nasional sebaliknya lihat kepada isu setempat, gerak kerja, urusan kebajikan yang diambil berat kedua-dua calon ini.

“Awie agak terkenal di situ, berkhidmat sejak peringkat awal lagi dan mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN