DUNGUN: Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang dari menangkap ikan di perairan Dungun dekat Pulau Tenggol, di sini, ditemukan selamat.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata mangsa, Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, ditemukan di kedudukan 27 batu nautika tenggara dari Kuala Dungun dekat sini kira-kira pukul 11 pagi tadi
Menurutnya, Tengku Khairul Asmawi Nizam
keluar memancing ikan bersendirian dengan menaiki bot gentian kaca kira-kira pukul 6.15 pagi semalam dikhuatiri hilang ditemukan sekumpulan nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut
“Bot mangsa dikatakan mengalami kerosakan sebelum hanyut dibawa arus pada petang semalam.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya menambat botnya di sebuah unjam buatan dan berjaya menghalang bot daripada terus hanyut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ariffin berkata, bot mangsa kemudian ditunda ke Pangkalan Nelayan, Kampung Raja, Tanjung Sura dan selamat tiba kira-kira pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zulkifli Mohamed, 48, yang merupakan antara nelayan yang menemukan mangsa berkata, dia bersyukur anak saudaranya selamat ditemukan.
“Saya dan rakan-rakan memang mencari mangsa di lokasi lubuk ikan cermin yang memang menjadi kebiasaan dia keluar memancing.
“Ketika tiba, saya tengok dia (Tengku Khairul Asmawi Nizam) sedang berdiri dalam bot gentian kacanya sambil melambai ke arah kami. Saya beri dia makan nasi, sebelum menunda botnya ke darat,” katanya.
Zulkifli berkata, bot mangsa mengalami kerosakan pada kipas menyebabkan dia tersadai di tengah laut. – UTUSAN