Negeri Sembilan capai kad laporan cemerlang

Negeri Sembilan capai kad laporan cemerlang

AMINUDDIN Harun dan barisan kepimpinan negeri ketika Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negeri Sembilan berjaya merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.8 peratus berbanding pertumbuhan 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Kejayaan negeri ‘Sang Rusa’ itu dilihat berdasarkan prestasi kerajaan dalam pelbagai sektor yang mendorong pertumbuhan positif antaranya menjadi penyumbang kelima tertinggi dalam sektor pembuatan negara dengan sumbangan sebanyak 5.4 peratus pada tahun 2023.

Bagaimanapun, kerajaan negeri terus melaksanakan usaha untuk memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada tujuh industri bernilai tinggi iaitu semikonduktor, aeroangkasa, maritim, kenderaan tanpa pemandu, kenderaan elektrik, bandar pintar serta hab logistik minyak dan gas.

Kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun itu juga merekodkan kejayaan dalam mengawal inflasi, di mana inflasi Negeri Sembilan pada 2023 menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding 2.8 peratus pada 2022 berikutan harga komoditi global yang lebih rendah, gangguan bekalan yang beransur pulih, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih.

Malah, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) mereka juga meningkat kepada 66.1 peratus sementara kada pengangguran pula menurun kepada 3.2 peratus pada tahun lalu, ini menandakan pendapatan rakyatnya bertambah baik iaitu pendapatan bulanan isi rumah meningkat kepada RM5,226.

Melihat dari sudut pelaburan, negeri itu juga berjaya memecahkan rekodnya sendiri apabila merekodkan pelaburan tertinggi yang pernah dicapai iaitu sebanyak RM10.1 bilion pada tahun lalu.

Nilai pelaburan ini diperolehi dari pelbagai sektor meliputi pembuatan dan perkhidmatan seperti hotel, hospitaliti, hartanah, kewangan, perkhidmatan perdagangan, pengedaran, utiliti, telekomunikasi dan lain-lain.

Pelaburan yang diperolehi itu turut melibatkan pelaburan asing sebanyak RM6.04 bilion selain domestik sebanyak RM4.05 bilion.

Sementara itu, sektor pelancongan juga merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi Negeri Sembilan dan telah menunjukkan kehadiran pelancong yang membanggakan dengan peningkatan 30.2 peratus iaitu sebanyak 15 juta orang pada tahun 2023.

Kejayaan ini merupakan hasil dari promosi giat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri antaranya Calendar of Events (CoE) Negeri Sembilan yang diadakan secara tahunan yang kini mengandungi sebanyak 24 aktiviti.

Berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan pada tahun 2024, semua penduduk Negeri Sembilan dilihat berpuas hati dengan semua komponen yang dinilai yang merangkumi aspek kehidupan, kesihatan, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga, pengurusan kewangan, aktiviti komuniti, keselamatan, penyediaan kemudahan masyarakat, perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil rakyat serta kualiti alam sekitar.

Perkara ini dipercayai didorong oleh pelbagai bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri antaranya Bantuan Anak Sekolah (B.A.S) dan Biasiswa Anak Negeri, program Fast Track lepasan Tahfiz dan Teras Pendidikan dan Modal Insan juga disokong oleh Yayasan Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan Skim Bantuan 28 Implan Ortopedik dan Tabung Hemodialisis, Geran bantuan kepada badan NGO Rumah Minda Ceria, baucar bantuan lesen motosikal sebanyak RM150 dan program Tabung 30 Usahawan Negeri Sembilan (TUNS).

Malah, beberapa program seperti Program TUNS Plus, Program NS Choice dan Program Halal Kotej turut disediakan oleh kerajaan Negeri Sembilan bagi memperkasakan golongan usahawan di negeri tersebut.

Inisiatif Penyelenggaraan Infrastruktur Rumah Awam Negeri, Program Rumah Harapan Rakyat dan projek perumahan mampu milik, Program Jualan Agro Madani, geran aktiviti kampung Orang Asli dan bantuan food bank pula menandakan kerajaan prihatin dengan kumpulan sasar.

Sementara itu, golongan belia turut mendapat tumpuan daripada kerajaan menerusi beberapa inisiatif seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional, Sumbangan sebanyak RM500 seorang kepada golongan muda Negeri Sembilan yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali pertama.

Perkara ini diteruskan oleh kerajaan negeri kepada golongan warga emas melalui sumbangan keceriaan sebanyak RM200.00 seorang kepada warga emas yang berusia 70 Tahun ke atas dan tidak terlepas dengan sumbangan one-off kepada golongan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Sedar mengenai kepentingan pendidikan, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan sebanyak RM300 seorang bagi anak-anak yang memasuki sekolah berasrama penuh, bantuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi dan anugerah khas sebanyak RM5,000 disediakan kepada para pelajar yang memperoleh keputusan Ijazah Kelas Pertama dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bantuan dan inisiatif yang disediakan ini merupakan usaha serta komitmen berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya terutama golongan miskin, miskin tegar dan B40 supaya semua dapat menikmati hidup yang berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN