Naib Juara Bintang RTM, Jo-Anna  keluar Warisan - Shafie Apdal 

Naib Juara Bintang RTM, Jo-Anna keluar Warisan – Shafie Apdal 

JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status kesetiaan dan keahlian Naib Juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henley Rampas terhadap kepemimpinan Parti Warisan (Warisan) terungkai selepas Presidennya memberitahu wanita itu sudah keluar parti. 

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilaporkan berkata, bekas Timbalan Ketua Wirawati itu berhak membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Warisan. 

 

Bagaimanapun, ahli Parlimen Semporna itu berkata, keputusan Jo-Anna tidak memberi kesan ke atas partinya. 

 

Sehubungan itu, katanya, Warisan tidak bergantung kepada mana-mana individu sebaliknya kepada rakyat untuk memastikan kekuatan parti. 

 

“Terpulang kepada dia untuk meninggalkan Warisan jika ingin memilih parti lain. Apa yang penting adalah rakyat. Mungkin dia keluar tetapi kita tahu masih ramai yang mahu menyertai Warisan.

 

“Parti ini tidak bergantung dengan mana-mana individu. Biarkan. Mereka ada hak untuk keluar. Kita tidak ada paksaan.

 

“Kalau dia percaya kerajaan dipimpin Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) boleh selesaikan masalah empat tahun, itu terpulang,” katanya.

 

Mohd. Shafie dilaporkan berkata demikian selepas menghadiri Jelajah Presiden Warisan Bagi Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, semalam.

 

Beliau memberi respons mengenai status Jo-Anna di dalam Warisan selepas mengumumkan melepaskan semua jawatannya di dalam parti. 

 

Pada 31 Julai lalu, Jo-Anna dilaporkan berkata, ketiadaannya dalam arena politik Sabah terjawab selepas memberitahu sudah meletakkan kesemua jawatan dalam Warisan sejak tahun lalu.

 

Alasannya tidak terlibat dalam aktiviti politik kerana mahu memberi tumpuan menyambung pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

 

Bagaimanapun, Jo-Anna dalam satu kenyataan terbaharu tetap tidak menjelaskan status kesetiaan dan keahliannya dalam Warisan.

 

Pada PRU15 lalu, Jo-Anna tewas dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dengan majoriti 233 undi dalam pertembungan enam penjuru.

 

Beliau hanya meraih 5,728 undi selepas kali pertama bergiat dalam arena politik.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN