KUALA TERENGGANU: Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramahnya baru-baru ini menunjukkan sikapnya yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Muhyiddin juga menunjukkan sikap angkuh dan sombongnya apabila sekali lagi mempertahankan kenyataan dalam ceramahnya itu dengan menegaskan ia adalah satu ‘fakta’.
“Sebagai Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu yang kononnya memperjuangkan hak orang Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayuk amat bertentangan dengan nilai kemelayuan.
“Muhyiddin telah berterusan mengasak dan mempertikaikan pula keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menyeru untuk menyatukan orang Melayu di bawah sebuah gabungan Kerajaan Perpaduan, termasuk parti Bersatu sendiri yang enggan menerima pelawaan tersebut.
“Janganlah berlakon kononnya bercakap tentang fakta semasa mengkritik keputusan Yang Dipertuan Agong kerana banyak ‘fakta-fakta’ kerakusan dan kelemahan diri Muhyiddin sendiri disembunyikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Berikutan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, jika Muhyiddin ingin bercakap tentang ‘fakta’, fakta pertama yang patut dikutuk adalah diri sendiri kerana memulakan budaya ‘Langkah Sheraton’ yang telah memporak-perandakan senario politik negara dengan menjatuhkan kerajaan di pilih rakyat secara sah .
Tambahnya, fakta kedua adalah disebabkan ‘Langkah Sheraton’ yang dimulakan Muhyiddin, Malaysia telah mengalami pertukaran empat orang Perdana Menteri dalam masa yang amat singkat dan menyusahkan rakyat.
“Fakta ketiga adalah semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengisytiharkan darurat di mana Parlimen digantung, suara rakyat dibisukan dan kontrak kontroversi seperti Jana Wibawa kononnya dengan alasan membantu Bumiputera, tetapi sebenarnya ramai bukan Bumiputera terlibat sama.
“Ini adalah fakta kerakusan Muhyiddin demi ingin terus berkuasa. Apabila beliau gagal menjadi Perdana Menteri semula selepas PRU15 dan menolak menyertai Kerajaan Perpaduan Muhyiddin mempertikai pula kebijaksanaan Tuanku dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menstabilkan Malaysia dengan kerajaan majoriti lebih dua pertiga.
“Fakta yang paling penting Muhyiddin perlu ingat ialah Yang di-Pertuan Agong yang sama, dengan penuh kebijaksanaan Tuanku, yang telah melantik Anwar Ibrahim, juga melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia sebelum itu,” katanya. – UTUSAN