Muhyiddin mengaku tidak bersalah, mohon dibicara

Muhyiddin mengaku tidak bersalah, mohon dibicara

MUHYIDDIN Yassin melambaikan tangan selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu di sini pada 14 Ogos lalu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat pengakuan  tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik. Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut yang mendakwa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

“Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya.

“Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai Ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115.

“Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi 2 berapa? 111…Kalau dapat lebih 1 dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history.

“Tapi entah macam mana Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi Istana angkat sumpah. Siapa yang Yang di-Pertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk tapi yang itu bagi saya agak luar biasa…tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan..sekarang ni kita panggil Kerajaan Madanon.”

Ucapan itu dilakukan oleh Muhyiddin berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini kira-kira pukul 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh enam Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd. Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Terdahulu, Umar Saifuddin mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perintah larangan bersuara dan tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Amer Hamzah dalam rayuannya berkata, jaminan tersebut tidak wajar dan keterlaluan memandangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan sama hanya dikenakan jaminan RM5,000.

“Ikat jamin sebanyak RM5,000 sudah memadai dan tidak perlu mengenakan sebarang perintah larangan bersuara memandangkan isu berkenaan sudah diketahui umum.

“Anak guam saya juga mengeluarkan kenyataan fakta dan segala bukti sudah diserahkan kepada pihak polis untuk diperincikan. Justeru, tidak perlu syarat tambahan dikenakan selain jaminan RM5,000,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara.

Mahkamah menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes dan Muhyiddin membayar jaminan tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN