Muhyiddin dituduh mengikut Akta Hasutan

Muhyiddin dituduh mengikut Akta Hasutan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, hari ini.

Tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh dibuat berikutan tindakannya menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) semasa berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perasu semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Susulan kenyataan itu, polis menerima 30 laporan berkait ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana beliau didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, baru-baru ini.

Berikutan itu, pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Pengerusi PN berkenaan yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Rabu lalu, Muhyiddin menye­rahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam ketika memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menuduh beliau (Muhyiddin) di Mahkamah Gua Musang.

“Pertuduhan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN