Muhyiddin dakwa video ucapan beliau sentuh 3R telah diedit

Muhyiddin dakwa video ucapan beliau sentuh 3R telah diedit

MUHYIDDIN Yassin melambaikan tangan semasa keluar dari pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa video ucapan beliau semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyentuh institusi raja dan tersebar di media sosial telah diedit oleh pihak tertentu.

Katanya, terdapat pihak yang memutar belit ucapannya termasuk menyunting video dengan niat memfitnah beliau menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menghasut rakyat.

Beliau yang memberi keterangan kepada pihak polis selepas 30 laporan dibuat terhadapnya sebelum ini berkata, tuduhan itu tidak benar dan berniat jahat.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai perakuan bersumpah (SD) Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.

“Ia sudah berlaku hampir dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah menghasut rakyat membenci institusi raja Berperlembagaan di negara ini dan tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, malah saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas memberi keterangan itu, Muhyiddin menegaskan, ucapan beliau itu antara fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah.

Beliau turut menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan antaranya surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta Ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

“Saya juga menyerahkan 115 Akuan Berkanun (SD) Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022.

“Satu lagi Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan baginda, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd. Alim yang mengesahkan beliau menerima dokumen itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan taat setianya kepada institusi raja berperlembagaan.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai niat untuk menghasut atau mengajak rakyat menghina serta membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.

“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu diambil keterangan oleh beberapa pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman selama satu jam di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini.

Turut hadir beberapa pemimpin PN antaranya Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika Seri Paduka menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, baginda mahu PDRM mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang secara sengaja menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN