MGB komited bina 30,000 unit rumah mampu milik di Selangor

MGB Berhad komited bina 30,000 unit rumah mampu milik di Selangor

Amirudin Shari (empat dari kiri) bersama Pengerusi MGB Berhad, Lim Hock San (tiga dari kiri) menyerahkan kunci kepada salah seorang pembeli Rumah Idaman Bandar Saujana Putra (BSP), hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS) iaitu MGB Berhad (MGB) menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk menjayakan pembinaan 30,000 unit rumah di bawah Projek Rumah Idaman Menteri Besar Incorporated (MBI) membabitkan enam projek.

Kerjasama itu merupakan inisiatif LBS dan MBI sebagai penyelesaian pemilikan kediaman kepada rakyat di Selangor.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, Rumah Idaman MBI merupakan suatu perkongsian pintar antara Kerajaan Selangor dan swasta untuk menyediakan kediaman mampu milik yang dilengkapi kemudahan asas selain turut dibina menggunakan teknologi berinovasi tinggi.

Katanya, jualan Rumah Idaman MBI amat memberangsangkan dan akan kekal sebagai segmen sasaran utama bagi MBG.

“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Selangor yang sentiasa komited di dalam menyediakan kemudahan terbaik, selesa dan berpatutan untuk rakyat Selangor.

Amirudin Shari (kiri) meninjau kemudahan salah sebuah Rumah Idaman BSP yang dilengkapi dengan pendingin hawa, peti sejuk, almari, kabinet dapur, televisyen dan kabinet televisyen, dan pemanas air untuk kemudahan penghuni.

“Ia juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang merancang untuk membina lebih 200,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2028,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) di sini, hari ini.

Unit Rumah Idaman MBI dibina menggunakan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik MGB yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa ketika terlibat dqlam melaksanakan pembekalan dan pemasangan konkrit pratuang di Jeddah, Arab Saudi.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sebagai permulaan, MGB berjaya menyiapkan 1,312 unit pangsapuri dua blok yang diberi nama Idaman BSP di atas tanah berkeluasan 19.30 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM375 juta.

Terletak di Bandar Saujana Putra, Rumah Idaman BSP merupakan satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI di bawah MGB Berhad yang ditawarkan kepada semua rakyat berkelayakan dan menetap di Selangor.

Projek ini menawarkan pelbagai pilihan rumah mampu milik dengan reka bentuk pelan berbeza, bermula dengan harga RM250,000.

Semua unit ini dibina dengan teliti untuk memenuhi kehendak pemilik rumah moden dan dilengkapi dengan perkakas penting termasuk penghawa dingin, peti sejuk, almari, kabinet dapur, televisyen serta pemanas air.

Pemilik Rumah Idaman BSP turut berpeluang menyertai keahlian eksklusif ‘LBS Perks & Plusses’, seperti pembeli kediaman LBS lain iaitu satu program kesetiaan yang menawarkan faedah dan keistimewaan kepada pembeli.

Dalam pada itu, salah seorang penerima kunci Rumah Idaman BSP, Aidy Raslan Ramli, 30, berkata dia bersama isterinya, Amni Mohd. Shamshudin, 28 sangat teruja untuk menduduki rumah pertama sejak berkahwin tiga tahun lalu.

Pasangan itu yang sebelum ini menyewa di Puchong Prima berkata, selain harga kediaman mampu milik, Rumah Idaman BSP juga sangat istimewa kerana menyediakan pelbagai perkakas penting.

“Kami hanya tinggal nak beli perabot-perabot yang lain seperti sofa dan barang-barang kecil lain. Alhamdulillah kami cukup berpuas hati dengan rumah yang ditawarkan.

“Harapan kami agar Kerajaan Negeri Selangor memperbanyakkan lagi unit rumah seperti ini buat rakyat negeri Selangor khususnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN