PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri menuntut beberapa perkara termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil pihak Meta Platforms Inc (Meta) terkait penurunan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tuntutan itu termasuk permohonan maaf secara terbuka selepas tindakan terbaharu Meta yang turut menyekat siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam.
Perkara itu antara dicapai selepas pertemuan selama dua jam antara Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri selepas memanggil Meta untuk memberikan penjelasan itu.
Jelasnya, keputusan unilateral syarikat itu untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta.
“Pejabat Perdana Menteri menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.
“Tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan,” katanya hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bersama tiga orang wakil Meta.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, tindakan penurunan hantaran itu adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.
Malah, tegasnya, ia memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.
Meta sebelum ini diberi peringatan tegas supaya tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel selepas sekali lagi menurunkan hantaran media sosial berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu.
Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak masuk akal, Perdana Menteri berkata, penyedia platform media sosial itu biadab dan menghina rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video dan ucapan takziah serta kritikan terhadap pejuang tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Anwar yang dalam rangka kerja di Doha, Qatar sempat meluangkan masa untuk bertemu Ismail dan Khaled Marshal.
Dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang dibom rejim Zionis. Bagaimanapun, Ismail dilaporkan terbunuh pada 31 Julai lalu dalam serangan yang dilakukan ke atas kediamannya di Teheran, Iran.
Beliau berada di Teheran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu. – UTUSAN