PUTRAJAYA: Kerajaan menuntut penjelasan daripada Meta berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh terutama akaun media sosial rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kesal dengan tindakan tersebut yang hanya menyasarkan akaun rasmi Perdana Menteri termasuk beberapa pemimpin lain di negara ini.
“Saya telah meminta supaya penjelasan diperoleh daripada pihak Meta kenapa hanya hantaran ataupun kandungan dimuat naik di akaun rasmi Perdana Menteri yang disasar.
“Waktu ini ada beberapa kemungkinan sama ada ia diturun pihak Meta sendiri secara automatik ataupun yang diterima daripada aduan orang ramai. Waktu ini kita belum dapat penjelasan yang penuh dan kita sedang nantikan daripada pihak Meta,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Terdahulu Anwar menyifatkan tindakan Meta menurunkan ucapan takziah dan kritikan atas pembunuhan Ismail daripada laman Facebook dan Instagram sebagai biadab serta menghina perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata, tindakan berkenaan adalah tidak masuk akal apabila menganggap hantaran untuk menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah air sendiri daripada kezaliman, sebagai berbahaya.
Menurut Fahmi, selain hantaran Perdana Menteri, hantaran sama di sebuah agensi media tempatan turut dimuat turun oleh Meta.
Beliau juga meminta mana-mana organisasi media untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya dikenakan tindakan serupa supaya usaha mengembalikan hantaran berkenaan dilakukan.
“Saya tegaskan di sini, semua platform media sosial mempunyai tatacara, garis panduan komuniti atau garis panduan standard masing-masing dan mereka mungkin melakukan sesuatu tindakan penurunan dan sekatan atau sebagainya berdasarkan garis panduan masing-masing,” katanya. – UTUSAN