Mesej tular Mpox tersebar di Pulau Pinang tak benar - Exco

Mesej tular Mpox tersebar di Pulau Pinang tak benar – Exco

TANGKAP layar sebahagian daripada mesej yang tular mengenai gejala Mpox yang kononnya telah tersebar di Pulau Pinang ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menafikan dakwaan yang tular di satu aplikasi media sosial yang menyatakan bahawa gejala Monkey Pox (Mpox) telah tersebar di Pulau Pinang ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, beliau telah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung perkara itu sebelum dijelaskan bahawa perkara tersebut adalah tidak benar.

“Saya telah menerima laporan bahawa terdapat satu mesej yang ditular menerusi aplikasi media sosial yang menyatakan gejala Mpox telah disebar di Pulau Pinang.

“Susulan itu, saya telah mendapatkan pengesahan daripada JKNPP dan mereka telah mengesahkan bahawa perkara tersebut adalah tidak benar,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu mesej di media sosial berhubung penularan Mpox di negeri ini dengan beberapa simptom yang telah dikenal pasti.

Selain itu, mesej itu turut mendakwa kononnya Pulau Pinang telah mencatatkan kes Mpox yang disusuli simptom iaitu demam dan gatal pada kulit.

DANIEL GOOI

Menurut Gooi, pihaknya ingin menyeru kepada orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan daripada berlakunya kekhuatiran dan ketakutan awam.

“Semua maklumat sahih berhubung dengan situasi Mpox ini boleh diperolehi melalui laman rasmi JKNPP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam hal ini, KKM telah mengambil tindakan aktif dalam mengemas kini situasi terkini berhubung gejala Mpox, malah, Bilik Gerakan Mpox juga telah diwujudkan sejak 16 Ogos lalu seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad,” katanya.

Tambah beliau, kesiapsiagaan KKM dalam menangani gejala Mpox telah ditingkatkan selepas deklarasi kecemasan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perkara ini.

“Jadi, saya pohon agar semua dapat kekal tenang dan mengikuti pengumuman dan kenyataan rasmi yang sahih oleh KKM dan JKNPP berhubung situasi ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN