TENOM: Saksi kesembilan iaitu pengadu memberitahu mahkamah bahawa mesej ‘senyuman awak manis’ bukan cubaan untuk memikat Ebit Lew.
Saksi memberi keterangan tersebut semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Ram Singh di Mahkamah Majistret, hari ini.
Mesej mengenai ‘senyuman awak manis’ yang dihantar bukan cubaan untuk memikat Ebit dan dia sendiri tidak pasti kenapa mesej berkenaan dihantar kepada Ebit.
“Saya sudah beritahu semasa saya beri gambar saya dalam keadaan dipaksa kerana Ebit tidak berhenti menghantar pesanan WhatsApp meminta-minta. Dari awal saya beritahu yang saya memang tidur awal.
“Tetapi selepas beberapa lama Ebit selalu WhatsApp saya jadi, saya terjaga sebab dia tidak berhenti Whatsapp pada pukul 1 atau 2 pagi dan biasanya saya akan bangun pada pukul 4 pagi untuk balas WhastApp Ebit,” katanya.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa dia percaya orang yang berkomunikasi dengannya melalui WhatsApp adalah Ebit Lew kerana nombor telefon yang digunakan adalah milik Ebit.
Menurut saksi, dia ada menghantar gambar wajahnya dengan senyuman yang manis berlatar belakang rama-rama serta mesej berbunyi ‘tidak lawa payudara itu tadi’ kepada Ebit Lew kira-kira pukul 3.52 pagi, 18 Mei 2021.
Namun, saksi tidak pasti sama ada mesej yang dipadam untuk semua adalah gambar payudara yang dihantar kepada Ebit.
Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan andaian peguam bahawa dia mereka-reka cerita kerana jawapan yang diberikan tidak dinyatakan dalam mesej yang pada IDD-2 muka surat 21.
Dalam keterangannya, saksi memberitahu dia ada memberitahu suami, kawan baik dan pegawai penyiasat bahawa dia ada menghantar gambar wajahnya dengan senyuman yang manis berlatar belakang rama-rama kepada Ebit.
“Ya..sebab itu saya marah. Saya terikut-ikut arahan dia. Apabila saya sedar semua itu, saya marah dia dan saya beritahu mereka,” katanya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin, manakala Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN