KUALA LUMPUR: “Ada orang cakap penampilan saya mungkin boleh menggalakkan perkara yang tidak baik kepada seseorang, itu bukan tanggungjawab saya tetapi tugas ibu bapa mereka untuk mendidik.”
Demikian penegasan pelakon, Datuk Remy Ishak, 42, selepas menerima kecaman lantaran dikatakan menunjukkan nilai tidak baik apabila tampil dengan imej hidung ‘bersubang’ baru-baru ini.
Menurut Remy, setiap ibu bapa memainkan peranan yang lebih penting dalam mendidik anak-anak masing-masing berbanding dirinya sebagai pelakon.
“Jadi, saya memang tidak tahu orang hentam saya. Adakah orang hentam? Lantaklah.
“Saya tak ambil tahu dan tidak baca komen. Jadi, memang tidak tahu orang komen atau hentam saya,” katanya.
Sementara itu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu turut menegaskan bahawa pendosa tidak akan lari dari membuat kesilapan lebih-lebih lagi wujudnya platform media sosial yang sukar dikawal.
“Kepada pendosa-pendosa sekalian, kita bukannya orang yang baik, kalau ada 10 kebaikan tetapi kita dapat buat tujuh pun okey.
“Pada saya, tak ada orang yang baik dan jahat sangat dalam dunia ini. Setiap orang ada pandangan masing-masing.
“Inilah dunia maya, saya tak boleh nak kawal orang dan terima kasih atas benda-benda tak baik itu (kecaman) sebab memberikan pahala kepada saya,” katanya.
Selain itu, jelas Remy, dia mengakui tidak kisah dengan komen-komen yang dilontarkan oleh warganet terhadapnya.
“Saya tak kisah sudah semua benda. Pengajaran hidup yang saya belajar adalah jangan baca komen sebab orang akan bagi macam-macam pendapat.
“Saya sudah 40-an, tahu mana baik dan buruk. Setiap apa yang saya lakukan saya tahu batasnya, kalau asyik nak dengar apa orang cakap melalui komen, tak jadi apa,” katanya.
Sebelum ini, Remy mengejutkan ramai dengan penampilan ’baharunya’ dengan menggayakan ‘septum ring’ atau subang hidung ketika sidang media drama terbaru, The Secret.
Namun, Remy menjelaskan penampilan tersebut dibuat hanya sekadar untuk berfesyen dan tidak lebih daripada itu.-UTUSAN