KUALA LUMPUR: Wanita UMNO diingatkan untuk tidak lalai dan leka dengan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kejayaan di Nenggiri bukan mudah dan banyak yang boleh dipelajari, terutama berkaitan dengan strategi, pendekatan, dan semangat.
Oleh itu, katanya, semua pihak diingatkan untuk tidak lupa diri dan berasa selesa dengan kejayaan tersebut.
“Jangan ada suara-suara yang merasakan kita sudah kuat. Jangan ada yang merasakan kita mampu mengubah sokongan sekelip mata sahaja.
“Jangan sesekali kita lupa sejarah. Ingatlah kita menang bergaya di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita kehilangan Putrajaya.
“Justeru itu, saya mohon kepada semua jentera dan perwakilan, teruslah beristiqomah dalam perjuangan,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Pada masa sama, Noraini mahu semangat dan kekuatan yang sama dibawa ke PRK DUN Mahkota yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Pastikan kerusi Mahkota ini kekal milik Barisan National (BN),” katanya. – UTUSAN