MBSP terima dua sijil Malaysia Book Of Records

MBSP terima dua sijil Malaysia Book Of Records

MOOI Lye (tengah) dan Baderul Amin (dua dari kiri) selepas menerima dua sijil MBOR di Menara MBSP, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakar sejarah tersendiri apabila menerima dua anugerah iaitu sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) dalam satu majlis di sini, hari ini.

Dua anugerah itu ialah organisasi pertama di Malaysia yang mendapat Pensijilan ISO 37301:2021 Sistem Pengurusan Pematuhan (CMS) dan agensi kerajaan pertama di Malaysia yang diiktiraf SIRIM kerana mempunyai dan mengintegrasikan Lapan Sistem Pengurusan Berasaskan Standard ISO Dalam Konteks Pelaksanaan, Dokumentasi dan Pengauditan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, beliau berbangga dengan usaha para kakitangan yang berusaha dan bekerja dalam satu pasukan sekali gus membolehkan pihaknya menerima anugerah terbabit.

“Untuk rekod, MBSP telah melaksanakan program kualiti sejak tahun 90-an lagi dan mula melaksana ISO serta mendapatkan sijil berkenaan sejak tahun 1999.

“Kita melaksanakan Sistem Pengurusan ISO dan 5S ini untuk membantu dalam memberikan garis panduan dan membuat penetapan KPI (petunjuk prestasi utama) bagi setiap jabatan terutamanya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan termasuk memenuhi ekspektasi dan kepuasaan hati pelanggan.

“Pensijilan bukanlah keutamaan kita sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), namun, ia bertujuan membantu dalam memberikan garis panduan yang jelas dan telus bagi melaksanakan kerja-kerja harian di pejabat dan di
lapangan,” katanya pada majlis tersebut di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye dan pegawai MBR, Siti Hajar Johor serta Ketua SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohamad Zakariah.

Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, kedua-dua sijil berkenaan bukanlah anugerah semata-mata, sebaliknya, ia membantu memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan.

“Ini (anugerah yang diterima) juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan serta memberi fokus kepada aspek alam sekitar, keselamatan, integriti serta pematuhan perundangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN