KUALA SELANGOR: Suasana di tapak karnival makanan dekat belakang sebuah pasar raya di sini gempar apabila seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu menyebabkan warga Pakistan berusia 32 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakannya berada di lokasi itu ketika hujan lebat.
Menurutnya, lelaki itu kemudian memegang besi khemah sebuah gerai dan berlakunya renjatan elektrik.
“Renjatan itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dibawa ke pentas utama karnival berkenaan bagi bantuan awal.
“Sejurus polis tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dan telah meninggal dunia di atas pentas tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Ambia, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca akibat renjatan elektrik. Tiada sebarang tanda punca kematian disebabkan unsur jenayah,” ujarnya. – UTUSAN