PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dikaitkan dalang kepada kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang beroperasi di Myanmar.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau membuat laporan itu sekali gus menafikan dakwaan tersebut dengan apa yang dianggap maklumat yang tersebar adalah picisan media dari negara seberang.
“Kebetulan rakan saya ajak bergambar sahaja untuk projek di sana. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah pada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan fitnah ini yang bertujuan menjatuhkan reputasi saya.
“Saya kekal utuh berpegang pada ajaran Islam dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat aktif dengan menjadi dalang kepada kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar.
Katanya, wanita itu bersama suaminya turut memegang jawatan penting selaku pengerusi keselamatan sebuah syarikat.
Difahamkan, mereka mula dikesan terlibat pada awal 2020 dan suspek pernah menjadi Ahli Parlimen di negeri utara tanah air serta pernah dilantik sebagai timbalan menteri.
Hishamuddin berkata, MHO terkejut dengan pendedahan panas yang diterbitkan di Indonesia dengan suspek juga dirujuk sebagai mafia judi atas talian.
Video tersebut ujarnya, amat memalukan imej Malaysia kerana sindiket didalangi tokoh politik itu juga melakukan penyiksaan kejam, penjualan organ malahan membunuh mangsa. – UTUSAN