'Masa untuk bertindak sekarang terhadap Israel'

‘Masa untuk bertindak sekarang terhadap Israel’

SUASANA hiba menyelubungi hospital al-Maamadani yang menempatkan jenazah mangsa korban serangan Israel terhadap sebuah sekolah di bandar Gaza, awal pagi semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu Israel agar memaksa rejim zionis itu segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Kementerian Luar menegaskan, ini termasuk menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid ini diteruskan.

Dalam hal ini, kata Wisma Putra, tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal serta memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin.

“Rejim Zionis perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.

“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai lalu.

“Masa untuk bertindak adalah sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kekejaman Israel terhadap Israel semakin menggila apabila rejim zionis itu terus melakukan serangan biadab terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza semalam sehingga meragut nyawa lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut.

Serangan itu telah mengorbankan ramai kanak-kanak, dan berkemungkinan ramai yang cedera parah bakal kehilangan nyawa akibat kekurangan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.

Kementerian Luar menegaskan, serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, tetapi satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diterima.

“Rejim Israel sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.

“Adalah amat tidak berperikemanusiaan bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berpeluk tubuh sementara tentera kependudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel.

Katanya, janji-janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung tidak boleh dipercayai.

“Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berhenti sehingga Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, dan Palestin diiktiraf sebagai Negara Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya