MAS sambung semula penerbangan ke Dhaka selepas batal dua hari

MAS sambung semula penerbangan ke Dhaka selepas batal dua hari

TANGKAP layar pergerakan ‘live’ pesawat MH102 ke Dhaka menerusi aplikasi FlightRadar24 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia Airlines (MAS) menyambung semula penerbangan ke Dhaka, Bangladesh selepas membatalkan penerbangan ke destinasi itu selama dua hari sehingga semalam.

Berdasarkan semakan jadual penerbangan hari ini, pesawat MAS dari Kuala Lumpur (KUL) ke Dhaka (DAC) telah berlepas pada pukul 9.27 pagi tadi menerusi penerbangan MH102, manakala penerbangan seterusnya dijadualkan pukul 8.30 malam ini menerusi penerbangan MH196.

Disebabkan pergolakan awam berterusan di Dhaka, MAS membatalkan penerbangan antara KUL dan DAC pada 6 dan 7 Ogos lalu sebagai keutamaan keselamatan kepada penumpang dan anak kapal.

Penerbangan yang terjejas ialah: MH196 (KUL-DAC); MH197 (DAC-KUL); MH102 (KUL-DAC) dan MH103 (DAC-KUL).

Pihak syarikat penerbangan itu terus memantau keadaan dan akan mengemas kini maklumat mengenai pembatalan penerbangan terus kepada pelanggan yang terjejas.

Semalam, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan semua perjalanan ke Bangladesh bagi mengambil kira situasi yang masih sukar diramalkan.

Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, sedang memantau rapat situasi di negara itu susulan pembentukan kerajaan interim Bangladesh bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat berfungsi seperti biasa.

Warganegara Malaysia yang berada di Bangladesh adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, serta sentiasa berwaspada, mengelak daripada berada di kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Nasib 171.2 juta rakyat Bangladesh masih samar-samar dan berdepan ketidaktentuan walaupun Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelmarin selepas beberapa minggu protes antikerajaan berlangsung.

Meskipun situasi bertambah reda kerana rakyat menyambut keputusan tersebut, namun nasib mereka masih tidak menentu terhadap hala tuju kerajaan sementara bagi mentadbir negara.

Menurut media tempatan, lebih 100 maut dalam pertempuran ganas di seluruh Bangladesh pada Isnin, menjadikannya hari paling berdarah sejak demonstrasi besar-besaran itu bermula.

Ratusan balai polis turut dibakar dengan Persatuan Perkhidmatan Polis Bangladesh (BPSA) mengisytiharkan mogok sehingga keselamatan setiap anggota terjamin.

Secara keseluruhan, lebih 400 orang maut ketika protes bertembung dengan tindakan keras oleh tentera kerajaan.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN