PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan Kenyataan Bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos lalu yang menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.
Menurut Kementerian Luar Negeri, secara prinsip, Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Dalam konteks ini, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan tiga negara itu dan berharap perbincangan akan datang yang bakal diadakan pada 15 Ogos ini membuahkan hasil positif.
“(Ini sekali gus mampu) menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman.
“Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, AS, Mesir dan Qatar meminta Israel dan Hamas memulakan semula rundingan gencatan senjata dan pembebasan tahanan.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden AS, Joe Biden; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; mereka telah menyediakan rangka kerja perjanjian yang hanya memerlukan butiran pelaksanaan dimuktamadkan.
Wisma Putra berkata, Malaysia sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan.
Katanya, bantuan kemanusiaan perlu disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah bahagi, termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri.
Ini termasuk penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. – UTUSAN