Malaysia sasar 62,000 pekerja mahir sektor tenaga

Malaysia sasar 62,000 pekerja mahir sektor tenaga menjelang 2050

FADILLAH Yusof menyaksikan sesi pemeteraian MoU di antara Suruhanjaya Tenaga dan Energy Commission of Sabah (ECOS) pada Majlis TVET Competent ST di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 62,000 pekerja mahir dalam sektor tenaga diperlukan bagi memenuhi industri penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini menjelang tahun 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, unjuran itu berdasarkan peningkatan teknologi peralihan tenaga dalam negara.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan sangat penting dalam melahirkan tenaga kerja berkenaan.

“Setakat ini, sekitar 20,000 tenaga kerja dalam sektor tenaga telah dilahirkan bagi memenuhi keperluan berkenaan.

“Industri tenaga adalah tulang belakang kepada pembangunan negara. Tanpa bekalan tenaga yang cekap dan berterusan, pembangunan ekonomi, industri dan sosial sesebuah negara akan terjejas.

“Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak berkepentingan iaitu kementerian, jabatan kerajaan dan agensi kawal selia, pihak industri tenaga dan institusi pendidikan untuk memastikan sektor tenaga mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kompeten dan sentiasa tersedia untuk memenuhi keperluan industri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis TVET Competent ST, di sini hari ini.

Fadillah berkata, kerajaan juga akan memastikan graduan TVET bukan sahaja mahir dalam teori, malah berkemahiran dalam pelaksanaan praktikal di lapangan.

Menurutnya, usahasama di antara institusi dan badan kawal selia mampu melahirkan lebih ramai orang kompeten elektrik dan gas terdiri daripada generasi muda, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.

Terdahulu, pada majlis sama, Fadillah turut menyaksikan majlis memetrai memorandum persefahaman (MoU) di antara ST dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

MoU tersebut bertujuan mengharmonikan tadbir urus dan kawal selia dalam perkara berkaitan kekompetenan, kelengkapan elektrik dan gas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sekali gus meningkatkan menyokong pertumbuhan ekonomi serta kualiti perkhidmatan kekompetenan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN