Malaysia belum 'merdeka', rakyat disekat cakap soal isu 3R

Malaysia belum ‘merdeka’, rakyat disekat cakap soal isu 3R – Dr Mahathir

MAHATHIR Mohamad ketika sesi bual bicara pada program Bicara Merdeka - Masa Depan Islam dan Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa negara ini belum lagi ‘merdeka’ kerana rakyat masih dihalang untuk bercakap mengenai isu 3R (kaum, agama, raja).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, biarpun negara sudah terlepas daripada penjajahan British tetapi negara masih ‘dijajah’ oleh kerajaan atas pelbagai sekatan.

“Kerajaan hari ini tidak benarkan kita buat itu dan ini. Kita tidak bebas, tidak boleh bercakap mengenai 3R, tidak boleh bercakap mengenai PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan yang merdeka hanyalah kerajaan sahaja. Kita tak merdeka.

“Kalau bercakap sedikit pasal isu 3R, polis akan panggil kita. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun dipanggil polis kononnya dia bercakap pasal 3R. Jadi tak bebaslah kita.

“Ini (sekatan bercakap 3R) bukan undang-undang pun kerana ia dibuat secara tidak sah. Undang-undang sepatutnya perlu diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap pada program Bicara Merdeka – Masa Depan Islam dan Melayu di sini, hari ini.

Bicara anjuran Yayasan Permata Ummah itu turut menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, beliau melihat kerajaan pada hari ini bebas bertindak atas sesiapa sahaja malah, jika silap sedikit akan dipanggil polis untuk disoal siasat.

Dr Mahathir berkata, jika kerajaan mahu menangkapnya kerana bercakap soal 3R ini, beliau tidak takut kerana sudah disoal siasat sebanyak sembilan kali sebelum ini.

“Kenapa kita tidak boleh bercakap mengenai bangsa kita dan agama kita. Saya berpendapat perayaan hari merdeka ini tidak ada makna. Kalau kita nak merdeka, segala sekatan ini perlu dibuang dan dihapuskan.

“Sebab itu, saya tidak rayakan hari merdeka kerana kita sebenarnya tak merdeka. Kita tidak boleh buat apa pun.

“Nak selesaikan masalah orang Melayu dan agama kita pun tidak boleh bercakap kerana ini semua tertakluk kepada undang-undang haram (tidak boleh cakap isu 3R) ini,” katanya.

Katanya, selagi rakyat tidak dapat hak untuk bercakap dan berbahas maka, Malaysia boleh dianggap belum merdeka kerana yang merdeka hanyalah kerajaan sahaja.

Menurutnya, negara masih dijajah dan ia dijajah oleh kerajaan yang mengawal dan menghalang semua perkara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN