Malaysia ambil iktibar sebaran berita palsu punca protes di UK - Fahmi

Malaysia ambil iktibar sebaran berita palsu punca protes di UK – Fahmi

KUMPULAN perusuh di United Kingdom.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil maklum mengenai perkembangan insiden protes di United Kingdom (UK) ketika ini dan bahana akibat sebaran berita palsu yang menjadi punca kepada rusuhan terburuk di negara itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, insiden di UK itu memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa sebaran berita palsu tidak boleh dipandang sambil lewa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, negara ini pernah digemparkan dengan masalah sebaran berita palsu setelah selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022.

“Selepas tamat PRU15 pada 2022, berlaku sebaran yang agak meluas dalam beberapa platform media sosial yang agak ekstem dan bersifat isu 3R (kaum, agama, raja).

“Di Malaysia sekurang-kurangnya kita telah banyak mengadakan banyak perbincangan dengan platform media sosial untuk pastikan mereka juga bersifat proaktif dan membantu untuk mengekang penularan berita palsu terutama berita yang berkait isu 3R,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Ahli Parlimen UK supaya platform media sosial mematuhi piawaian undang-undang seperti diguna pakai media tradisional.

Fahmi menjelaskan, insiden di UK berpunca daripada fitnah tersebar yang mengaitkan individu beragama Islam dan pemohon suaka melakukan jenayah pembunuhan sedangkan individu itu dilahirkan di UK.

“Insiden di UK dipercayai ada kaitan isu agama, memandangkan ada individu yang mengaku menjadi punca sebaran berita palsu itu,” katanya.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini ada berbincang dengan organisasi badan kawal selia UK, ofcom bagi kerjasama menangani isu berita palsu.

Berhubung perkembangan terkini kedudukan rakyat Malaysia di UK, Fahmi berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memandangkan ramai pelajar dan rakyat Malaysia bermastautin, bekerja dan belajar di negara itu.

Menurutnya, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan, secara umumnya keadaan di UK terkawal dan pada masa sama beberapa tindakan diusahakan oleh kerajaan UK untuk menjamin keselamatan orang awam.

Pihak berkuasa UK sebelum ini dilaporkan berhadapan tekanan semakin meningkat bagi menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun selepas insiden pembunuhan kanak-kanak, yang sekali gus mencetus kekacauan melibatkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.

Pergolakan itu dilaporkan berikutan maklumat salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga remaja perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar ketika penunjuk perasaan anti-imigresen bertempur dengan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya