MAIPs sasar tingkat pengiktirafan lokal dan global - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

MAIPs sasar tingkat pengiktirafan lokal dan global – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan beramah-mesra sewaktu program Sesi Interaksi Wacana Hikmah di Masjid Al-Noor, Abuja, Nigeria. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mensasarkan peningkatan kepada pengiktirafan lokal dan global dalam setiap inisiatif atau aktiviti yang dilaksanakan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengiktirafan berkenaan adalah penting dalam membawa organisasi itu agar setanding di persada dunia.

“Misi antarabangsa yang dilaksanakan MAIPs sebagai contoh adalah bertujuan untuk mempertingkatkan jaringan kolaborasi yang strategik demi mempertingkatkan lagi perkhidmatan MAIPs kepada golongan sasar.

“Selain itu, usaha ini turut menfokuskan kepada perkongsian pengalaman dalam pengurusan hal ehwal Islam,” titah baginda pada program Sesi Interaksi Wacana Hikmah di Masjid Al-Noor, Abuja, Nigeria sempena Lawatan Safar Ilmi MAIPs ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang juga Waris Kedua Negeri Perlis dengan disambut beberapa tokoh ilmuan dan sarjana Nigeria.

Antara tokoh yang hadir adalah Pengerusi Kebangsaan badan bukan kerajaan (NGO) Jama’atu Izalatul Bidi’ah wa Ikamatus Sunnah, Sheikh Abdullahi Bala Lau dan Setiausaha Agungnya Sheikh Muhammad Kabiru Haruna Gombe bersama Pengerusi Kesatuan Inisiatif Imam Abuja, Sheikh Tajudeen Bello.

Dalam pada itu, Sheikh Abdullahi Bala Lau berkata, usaha MAIPs dalam mempertingkat jaringan dan misi global merupakan peringatan bahawa umat Islam adalah bersaudara.

“Hal yang menjadikan umat ini bersatu dan bersaudara adalah kerana agama Islam itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod, di peringkat lokal, MAIPs telah menjadi Majlis Agama Islam pertama di Malaysia mendapat penarafan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara, Anugerah Sijil Bersih Penyata Kewangan untuk 11 tahun berturut-turut, Anugerah 5 Bintang Bagi Indeks Akauntabiliti dalam Pengurusan dan pelbagai lagi.

Selain itu, MAIPs juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam menjadikan organisasi ini aktif di persada antarabangsa antaranya melalui hubungan strategik bersama Majlis Agama Islam di enam Wilayah Andaman Thailand di samping membantu menubuhkan fizikal Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah di Fatoni University serta Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM).

Malah, MAIPs turut melaksanakan program misi kemanusiaan kepada pelarian Syria dan Rohingya bersama misi bantuan Al-Quds selain bekerjasama dengan badan antarabangsa lain.

Dalam bidang dakwah antarabangsa, MAIPs turut menubuhkan Majlis Ilmuan Nusantara dan menganjurkan program tahunan Konferen Dakwah Serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya