KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio, Roy Azman, berkongsi petua kebahagiaan rumah tangga terletak kepada usaha suami dalam menjaga hati isteri.
Roy atau Zairosminan Azman Abdul Rahman, 54, berkata dia akan cuba memenuhi keinginan isteri, Rafidah Mohd Razali, seperti meluangkan masa bersama dan membawanya berbelanja.
“Mahu jaga hati isteri saya senang sahaja, bawalah dia berbelanja tidak kiralah dalam talian mahupun pergi ke pusat beli-belah.
“Sejak dulu lagi saya memang wajibkan diri untuk luangkan masa bersama keluarga setiap hujung minggu.
“Selalunya selepas habis kerja di radio setiap Ahad, saya akan bawa keluarga keluar bersiar-siar tidak kiralah pergi makan atau ke pantai Port Dickson,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pelakon Gemilang itu juga menekankan kepentingan mempunyai cara komunikasi yang baik dalam kalangan ahli keluarga.
Perkara itu sangat penting dalam menjaga keharmonian perkahwinannya selama 18 tahun ini.
“Dalam rumah tangga kita kena banyak bertolak ansur. Komunikasi memang penting, jika itu baik, maka perkahwinan anda akan selamat.
“Untuk pengetahuan semua, saya pernah ambil kursus komunikasi dan perhubungan ketika berusia 20-an. Waktu itu belum berkahwin. Saya saja belajar sebagai persediaan bergelar suami,” jelasnya.
Roy tidak menafikan, banyak sahaja godaan nakal diterimanya daripada wanita walaupun sudah berkahwin, namun semuanya ditepis kerana menyayangi keluarga dan lima orang anaknya.
“Ada sahaja perempuan yang mesej di Instagram. Tapi kita jangan layan dan buka hati. Jika kita sayang keluarga, mengapa mahu susahkan diri? Lelaki kena kuat.
“Saya sudah tengok serabutnya rakan sekeliling saya (yang curang), jadi kita ambil sebagai pengajaran. Sebab bila sudah bersambut perasaan itu, semuanya akan jadi susah,” katanya.
Untuk rekod, Roy berkahwin dengan isteri, Rafidah Mohd Razali yang juga bekas ahli kumpulan Princess pada 11 Mac 2006.
Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan. -UTUSAN