Loudness kembali 'gegar' Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Loudness kembali ‘gegar’ Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Loudness bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal Live In Malaysia yang berkemungkian merupakan antara persembahan berskala besar terakhir mereka sebelum bersara.

Pengurus Rockstage Entertainment Talib Othman berkata, menghampiri tarikh ini, segala persiapan rapi sudah dilakukan mereka untuk Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal Live In Malaysia.

“Pasukan kami berusaha memastikan segala-galanya berjalan lancar sekali gus memberi keyakinan kepada peminat yang hadir membayar tiket terhibur dengan apa yang ditampilkan.

“Perkara ini perlu diutamakan kerana menerusi data, bukan setakat peminat dari Malaysia sahaja yang membeli tiket untuk menghadirkan diri di konsert ini.

“Malah peminat dari negara Jepun, Thailand, Singapura dan Brunei juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyaksikan persembahan band legenda ini beraksi kelak.

“Lokasi berprestij Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan sistem bunyi dan lampu yang serba terkini, bakal meninggalkan kesan yang akan terus dikenang bagi peminat Loudness ini,” katanya.

Band yang ditubuhkan di Osaka, Jepun pada 1980 ini mempunyai bilangan peminat yang ramai di Malaysia termasuk dari kalangan generasi baharu.

Justeru, pengumuman konsert anjuran Rockstage Entertainment yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 September ini mencetuskan kegembiraan peminat yang mahu menonton aksi Minoru Niihara (penyanyi), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) ini.

Dalam pada itu, tambah Talib, konsert ini juga bakal mencipta sejarah kumpulan itu berkemungkinan akan mengucapkan selamat tinggal kepada bidang seni.

“Kedatangan mereka kali ini adalah kali terakhir sebelum mereka bersara tidak lama lagi kerana faktor usia. Sebagai hadiah, kami menjangkakan sebanyak 20 buah lagu bakal dipersembahkan.

“Sebahagian dari jumlah lagu dipilih oleh saya sendiri bagi memastikan ia menepati selera peminat nanti. Saya percaya mereka yang hadir pasti terhibur,” katanya.

Bagi peminat yang berminat untuk menghadirkan diri ke konsert ini, mereka boleh melayari web myticketempire.com untuk urusan.

Pembelian tiket yang bermula dengan harga RM260 untuk konsert ini boleh dibuat dengan melayari laman web myticketempire.com.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN