Lonjakan permintaan domestik, pemulihan eksport dorong pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi

Lonjakan permintaan domestik, pemulihan eksport dorong pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi

ANWAR Ibrahim pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lonjakan permintaan domestik serta pemulihan berterusan eksport mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat pada kadar lebih tinggi daripada unjuran-unjuran ahli ekonomi bagi dua suku tahun berturut-turut.

Pada suku kedua 2024 (S2 2024), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus (S1 2024: 4.2 peratus) sekali gus mengatasi unjuran median konsensus Bloomberg iaitu sebanyak 5.8 peratus.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, prestasi ekonomi Malaysia membanggakan ini sekali lagi mengatasi keadaan global yang tidak menentu dan telah melemahkan permintaan serta pertumbuhan di kebanyakan negara.

“Angka dan indikator yang positif adalah bukti bahawa reformasi dasar serta pengurusan ekonomi Kerajaan Madani telah membuahkan hasil.

“Prestasi yang memberangsangkan ini akan terus mendorong kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda reformasi Ekonomi Madani. Dengan itu, kerajaan yakin momentum pertumbuhan negara akan diperkukuh dalam tempoh mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peningkatan pada S2 2024 telah menjadikan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh tahun pertama 2024 sebanyak 5.1 peratus (separuh tahun pertama 2023: 4.1 peratus).

Kadar ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang selesa untuk menutup tirai tahun ini dengan kadar pertumbuhan yang tinggi di ambang unjuran rasmi kerajaan sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mengukuhkan lagi asas Malaysia dengan enjin pertumbuhan baharu dan disiplin fiskal sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia kekal cenderung kepada ketidaktentuan global.

Katanya, ini termasuklah ketegangan geopolitik yang berlarutan, gangguan rantaian bekalan serta prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama yang pelbagai, yang mana kebanyakan ekonomi tersebut merupakan rakan dagang utama Malaysia.

Walau bagaimanapun, jelasnya momentum pertumbuhan separuh pertama 2024 yang pesat ini melambangkan asas negara yang kukuh seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Dengan meneruskan pelaksanaan reformasi dasar seperti diilhamkan dalam kerangka jangka masa sederhana Ekonomi Madani, Malaysia berupaya mengecapi kitaran pertumbuhan ekonomi baharu dan menjayakan reformasi fiskal yang diperlukan.

“Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diluncur pada Mei lalu merupakan satu lagi tambahan kepada dokumen dasar untuk memodenkan ekonomi negara dengan membangunkan industri-industri bernilai tinggi dan mampan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024 merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan dasar yang bermula secara besar-besaran pada tahun ini.

Kata Anwar, pertumbuhan kukuh yang melangkaui jangkaan pada separuh pertama 2024 telah meletakkan kerajaan pada kedudukan yang ampuh untuk mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus pada 2024.

Perkembangan ini juga memberikan ruang yang mencukupi untuk kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang mampu menyokong pertumbuhan selanjutnya pada tahun ini, jika diperlukan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan kekal nekad untuk mematuhi sasaran jangka masa sederhana untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3 peratus atau lebih baik.

“Usaha-usaha sedang diambil untuk menambah baik tadbir urus dan mendigitalkan perkhidmatan awam bagi membantu meningkatkan asas hasil negara. Kerajaan juga akan terus mengenal pasti langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan dan mengurangkan ketirisan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya