Lembu melintas, seorang maut, enam cedera

Lembu melintas, seorang maut, enam cedera

KEADAAN kereta Proton Saga selepas melanggar lembu dan sebuah motosikal di Kilometer 24, Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang pekerja bengkel maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berpunca daripada lembu melintas di Kilometer 24, Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 6.28 pagi itu turut mengakibatkan enam mangsa yang lain cedera manakala lembu terbabit mati dirempuh kereta Proton Saga.. 

Menurut beliau, kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Saga dan empat motosikal jenis Vespa Sprint Scooter, Vespa Super, Vespa Sprint dan Yamaha Y15ZR.

“Hasil siasatan  mendapati kereta Proton Saga terlanggar seekor lembu melintas  menyebabkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Vespa Sprint Scooter.

“Kemudian Vespa Sprint, Vepsa Super dan Yamaha Y15ZR  terlanggar bangkai lembu yang dilanggar Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Bahrin, akibat pelanggaran itu, penunggang Vespa Sprint Scooter, Muhamad Ammar Ibrahim, 24, dari  Benut, Pontian dan bekerja di bengkel kereta mengalami cedera parah di kepala badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kata beliau, pemandu Proton Saga, 34, sakit di bahagian dada manakala  penumpang depan iaitu anaknya, 15, mengalami pendarahan dalam kepala.

Penunggang Vespa Sprint, 23, mengalami pendarahan dalam kepala dan luka di kaki kiri manakala penunggang Vespa Super, 25, sakit di bahagian badan, paha serta lutut kiri.

Penunggang Yamaha Y15ZR, 18, pula sakit di bahagian badan dan kaki kiri sementara pemboncengnya, 16, sakit di bahagian badan dan kaki kanan. 

Semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya