Lelaki warga emas cedera ditetak - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas cedera ditetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki warga emas parah akibat ditetak suspek bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Ganda, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, laporan polis berkaitan kejadian tersebut dibuat anak perempuan mangsa pada pukul 5.01 petang.

Katanya, wanita terbabit memberitahu, kejadian itu disedari setelah terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum melihat seorang lelaki meluru masuk ke dalam rumah.

“Suspek yang juga individu dikenali mangsa itu datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal sebelum masuk ke dalam rumah dan menyerang warga emas terbabit dengan melibas parang ke arahnya.

“Libasan senjata tajam itu kemudian terkena pada tangan kiri warga emas berusia 68 tahun itu, menyebabkan luka kesan tetakan selain patah tulang di lengan kiri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anak perempuan mangsa yang sempat melarikan diri telah pergi ke rumah jiran bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, mangsa yang cedera telah menerima rawatan awal di Unit Kecemasan Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut.

“Berikutan itu, tangkapan telah dibuat terhadap suspek berusia 54 tahun semalam. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif suspek menyerang mangsa,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Sekyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN