BANGKOK: Hasrat seorang lelaki untuk membuang air terbantut selepas bahagian testisnya digigit seekor ular sawa yang bersembunyi di dalam mangkuk tandas di rumahnya, kelmarin.
Lelaki itu yang juga pengguna Facebook dengan nama Thanat Tangthewanon, turut berkongsi beberapa gambar di laman media sosial tersebut, memaparkan bagaimana dia terpaksa bergelut dengan reptilia berkenaan.
“Pada pagi 19 Ogos lalu, saya terus ke tandas sebaik bangun dari tidur.
“Sebelum duduk di mangkuk tandas, saya mengepam air seperti kebiasaan bagi memastikan keadaan selamat,” tulisnya seperti laporan laman berita sosial World of Buzz.
Tambahnya, tidak lama selepas itu, dia merasa sesuatu menggigit testisnya dan mendapati ia adalah seekor ular sawa.
“Saya rasa sangat sakit, namun tidak panik. Saya segera memegang kepala ular itu dan cuba menariknya keluar daripada mangkuk tandas, namun tersekat,” katanya.
Pemuda itu berkata, tanpa berfikir panjang, dia mencapai sebatang berus tandas dan memukul ular tersebut tanpa henti sehingga mati.
Beberapa keping gambar yang dipaparkan lelaki itu menunjukkan ular berkenaan sudah tidak bernyawa selain beberapa tompokan darah boleh dilihat di lantai bilik air tersebut.
Dia turut mengalami kecederaan akibat digigit, namun bersyukur ia hanyalah seekor ular sawa dan bukannya reptilia berbisa.
“Saya kemudian memberitahu pengawal keselamatan tentang kejadian itu dan menghubungi seorang rakan yang tinggal berhampiran untuk ke hospital,” tambahnya. – AGENSI