KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia 70 tahun kekal menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan 10 sebatan kerana merogol seorang wanita lembam ketika kejadian berusia 32 tahun pada 2015 sehingga melahirkan anak perempuan.
Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menolak rayuan bapa 10 anak itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya kerana merogol mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (pembelajaran).
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas memutuskan hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam pendekatannya ketika menerima keterangan mangsa selepas menilai konteks keadaan mentalnya serta fizikal ketika memberi keterangan.
Beliau berpendapat, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa perlakuan seks terhadap mangsa dilakukan tanpa keizinannya.
“Mangsa tidak mampu memberi keizinan kerana tidak memahami sifat dan akibat jika mengizinkan perlakuan seks terhadapnya,” ujar beliau dalam alasan penghakiman bertarikh 14 Ogos lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Perayu didapati bersalah merogol mangsa yang juga anak rakannya di antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, penghujung September 2015 dalam bilik tidur rumah mangsa di Pendang, Kedah.
Ketika kejadian, perayu berusia 67 tahun bekerja sebagai pesawah manakala mangsa merupakan wanita lembam yang mempunyai masalah pertuturan.
Keterangan kes menyatakan, kejadian mangsa dirogol hanya diketahui oleh keluarganya ketika usia kandungan tujuh bulan setelah salah seorang kakaknya mengesyaki wanita itu mengandung kerana merasa pelik selepas tersentuh perutnya.
Kakak mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada seorang lagi adiknya yang bertugas sebagai pembantu wad di sebuah pusat perubatan.
Ujian kehamilan yang dijalankan terhadap mangsa oleh adiknya mengesahkan wanita itu mengandung sebelum dibawa untuk membuat pemeriksaan lanjut di sebuah klinik dan didapati hamil 26 minggu.
Mangsa kemudian melahirkan bayi perempuan pada 30 Jun 2016 manakala ujian klinikal DNA yang dijalankan mengesahkan perayu dan wanita itu adalah bapa dan ibu kandung bayi tersebut.
Pemeriksaan yang dijalankan bagi mengetahui tahap mental mangsa mengesahkan wanita itu mengalami `Severe Intelectual Disability’ iaitu keadaan mental seperti pemikiran kanak-kanak berumur enam tahun.
“Laporan ujian IQ terhadap mangsa menunjukkan dia menghadapi kesukaran membezakan dan mengenal pasti baik buruk sesuatu perkara dan bermasalah membuat keputusan, mudah dimanipulasi dan tidak mampu berfikir secara logik serta mempertahankan diri.
“Hakim bicara turut mendapati, mangsa sukar menjawab soalan yang dikemukakan, tidak dapat memahami sumpah yang dibacakan, kelihatan gelisah dan takut serta tidak mahu memandang perayu semasa memberi keterangan,” ujar Hakim Mohamad Abazafree.
Keterangan seorang perunding psikologi klinikal dan kaunseling pula menyatakan, individu pada tahap IQ sedemikian tidak akan mengetahui perkara berkaitan seks melainkan dia pernah diajar atau diberitahu tentangnya.
Selain itu, keterangan ibu bapa mangsa di mahkamah turut menyatakan, wanita itu tidak bergaul dengan orang lain, pertuturannya hanya difahami ahli keluarga selain pergerakannya terbatas kerana keadaan kakinya yang lemah dan berjalan senget.
Sementara itu, keterangan pembelaan pula menyatakan, perlakuan tersebut atas kerelaan mangsa manakala laporan polis tidak menyatakan dia dirogol sebaliknya hanya menyebut insiden hubungan seks dengan perayu. – UTUSAN